Jumaat, April 30, 2010

Sudut Kesihatan SK Nitar 1- Bahaya Rokok

Semua telah maklum bahawa rokok AMAT BERBAHAYA kepada penghisap atau penghidu asap rokok. Melalui sudut kesihatan SK Nitar 1 ini, kita berkongsi pengetahuan tentang bahaya rokok dan berharap pelajar-pelajar akan terus menjauhi Najis Rokok ini.

Rabu, April 28, 2010

Kempen Sekolah Selamat

Minggu ini SK Nitar 1 menjalankan kempen Minggu Sekolah Selamat. Pada 28 April 2010, Pertandingan Tulisan Cantik yang berkaitan dengan kempen ini diadakan untuk murid-murid Tahap 1. Kempen Sekolah Selamat ini mendedahkan murid-murid sekolah ini tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa berada di sekolah dan pelbagai kemahiran berkaitan keselamatan, kesan-kesan tidak akur kepada peraturan keselamatan dan sebagainya. Mereka perlu dididik dari awal bagi menjana minda ke arah kesedaran pentingnya menjaga keselamatan pada setiap masa tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Isnin, April 26, 2010

PING PONG MSSM NEGERI JOHOR - TAHNIAH KEPADA MUHAIMIN

Kecil-kecil cili padi. Itulah yang dapat ditakrifkan kepada Muhamad Muhaimin Haikal bin Md. Fadil, murid Tahun 5 dari SK Nitar 1 yang merupakan wakil tunggal MSSM Daerah Mersing yang berada dalam kelompok 'top 3' pada Pertandingan Ping Pong MSSM Negeri Johor yang telah diadakan pada 23-25 April 2010 di Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak.
Menduduki tempat ketiga kategori Kaum Bukan Cina peringkat negeri Johor Bawah 12 Tahun  merupakan satu kedudukan yang terbaik buat seorang murid yang pada awalnya diasuh oleh jurulatihnya sebagai pelapis untuk Projek Gemilang Ping Pong 2011. Tahniah kepada adik Muhaimin. Kejayaan ini pastinya menyuntik semangat untuk menjuarai kejohanan yang sama tahun hadapan. InsyaAllah.

Sabtu, April 24, 2010

Sekolah Ganti - Kehadiran Murid Mengecewakan

Pihak sekolah berharap semua ibu bapa dapat membaca mesej ini. Kehadiran murid pada hari ini (Sabtu, 24 April 2010) amat mengecewakan. Perlu diingat, sekolah ganti sama dengan hari persekolahan biasa. Lebih mengecewakan, murid yang menaiki bas dari Felda Nitar Timur tidak dapat hadir ke sekolah kerana perkhidmatan bas tidak disediakan hari ini. Alasannya ialah pemandu balik kampung. Pihak sekolah berharap ibu bapa memandang serius perkara ini kerana sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa dan guru tetap mengajar di kelas seperti biasa. Harapan pihak sekolah, hari Sabtu persekolahan ganti pada masa akan datang akan lebih baik kehadiran muridnya.

Jumaat, April 23, 2010

24 April 2010 - Sekolah Ganti

Pada hari Sabtu, 24 April 2010 merupakan hari persekolahan ganti. Jadual yang digunakan ialah jadual hari Isnin. Surat makluman mengenai hari persekolahan berganti ini telah dikeluarkan oleh pihak sekolah. Di harap ibu bapa memberikan kerjasama memastikan anak-anak hadir ke sekolah.

Rabu, April 21, 2010

PING PONG MSSM MERSING - Bonus...JUARA BERGU TERBUKA pula.


MENAKJUBKAN !!!!!! Selepas menjuarai kategori perseorangan (Melayu) dan perseorangan terbuka, tanpa diduga dan dijangka, SK Nitar 1 muncul juara kategori bergu terbuka L12 tahun. Pasangan Muhamad Muhaimin dan Muhamad Yusof telah memeranjatkan semua penonton Felda Tenggaroh 3 dengan skil permainan yang menakjubkan. Satu lagi pasangan, Muhamad Azim Faris dan Muhamad Rafiq Faiz berjaya mara setakat suku akhir. Tahniah kepada pasukan pelapis ping pong SK Nitar 1. Tahun depan akan lebih gemilang dan ...AWAS!!!!! Tahun hadapan pasukan ini menjadi pasukan utama, bukan lagi pelapis. Program jangka panjang yang dilaksanakan oleh tenaga guru yang melatih murid-murid ini membuktikan 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'.Setiap kejayaan yang dikecapi pastinya bermula dengan kesukaran dan cabaran. Renung-renungkan.

Selasa, April 20, 2010

MUHAIMIN JOHAN PING PONG TERBUKA MSSM DAERAH MERSING



Sekali lagi gemilang dicipta oleh Muhamad Muhaimin Haikal bin M. Fadil pada hari ini. Kejayaan dan kejutan yang dicipta semalam belum mencukupi. Hari ini dalam kategori Terbuka, Muhaimin menampilkan kejutan lagi. Gelaran JOHAN berjaya dicapainya. Tahniah kepada beliau. SK Nitar 1 berbangga dengan kejayaan yang tidak diduga ini. Sekalung tahniah juga buat bapanya yang juga jurulatih peribadinya, Cikgu M. Fadil bin Othman, Ustaz Ruzlan bin Sulong dan Ustaz Aziz bin Kasim. NITAR 1 BOLEH JUARA !!!!

Isnin, April 19, 2010

SK Nitar 1 JOHAN PING PONG INDIVIDU


JOHAN PING PONG MSSM DAERAH MERSING 2010
TAHNIAH kepada Muhammad Muhaimin Haikal b. M. Fadil, juara baru perseorangan Pertandingan Ping Pong (Melayu) MSSM daerah Mersing Bawah 12 Tahun yang baru berakhir di SK Felda Tenggaroh 3. Beliau telah mengalahkan juara bertahan dari SK Felda Tenggaroh 3. Tahniah juga kepada wakil sekolah yang lain, Muhamad Yusof bin Omar, Muhamad Azim Faris bin Roslee dan Muhammad Rafiq Faiz bin Abdul Rahman kerana telah memberikan cabaran kepada lawan yang lebih berpengalaman. Walaupun SK Nitar 1 hanya menghantar pemain pelapis, kejayaan telah dituai. Ini semua hasil usaha gandingan jurulatih Ustaz Ruzlan, Cikgu Fadil dan Ustaz Aziz. Semoga tahun depan akan memberikan pulangan yang lebih besar. SK NITAR 1 BOLEH. Tahniah kepada semua.

PING PONG DAN RAGBI SENTUH MSSM MERSING


Warga SK Nitar 1 mendoakan selamat berjaya kepada wira-wira sekolah yang meneruskan perjuangan ke arah kegemilangan sukan sekolah. Pada hari ini (19 April 2010), dua pasukan dari SK Nitar 1 menyertai Pertandingan peringkat MSSM Daerah Mersing.
Pasukan Ping Pong akan bertanding di SK Felda Tenggaroh 3. Seramai empat pelajar lelaki telah terpilih mewakili sekolah. Mereka terdiri daripada pelajar Tahun 5 yang merupakan pelapis sekolah. Walaupun hanya menghantar barisan pelapis, latihan selama sebulan pastinya mampu memberikan keyakinan kepada jurulatih sekolah untuk merebut kejuaraan. Guru yang terlibat melatih pelajar ialah En. Ruzlan bin Sulong, En. Mohd Fadhil bin Othman dan Tn. Hj. Aziz bin Kasim. Semoga berjaya.
Pasukan ragbi sentuh pula terdiri daripada 12 orang pelajar yang telah dilatih oleh En. Md. Hairol Azhari bin Sapon dan dibantu oleh En. Afandi bin Aziz serta En. Saiful Afandi bin Awang. Pertandingan diadakan di SK Pusat Air Tawar, Endau. Pengalaman luas jurulatih dalam bidang ini diharap mampu menjana kejayaan kepada SK Nitar 1.
SELAMAT BERJUANG, KAMI DOAKAN KEJAYAAN. INSYAALLAH.

Jumaat, April 16, 2010

Majlis Penutupan Rasmi Kempen Anti Dadah

Pada 16 April 2010, mulai 7.15 pagi, majlis penutup kempen anti dadah dimulai dengan bacaan Yassin dan tahlil. Selepas itu acara diteruskan dengan sketsa, koir, melagukan syair oleh guru dan murid, dan deklamasi sajak. Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna poster dan menulis esei anti dadah telah disempurnakan oleh Encik Zulkefli bin Mohd Amin, Guru Besar SK Nitar 1. Bersama-samalah kita berdoa agar semua rakyat Malaysia bebas daripada najis dadah.

Isnin, April 12, 2010

Sekitar Kem Ketahanan Dan Jati Diri

Kem ini telah diadakan pada 9 hingga10 April 2010.


Jumaat, April 09, 2010

Tahlil Dan Yassin Buat Allahyarham Hj. Azman

Malam Jumaat, Masjid Jamek Felda Nitar 1 telah mengadakan bacaan Yassin dan Tahlil buat Allahyarham Hj Azman bin Asran, GPK Pentadbiran SMK Nitar yang telah kembali ke Rahmatullah pada 7 April lalu. Semua warga Felda Nitar 1, Nitar 2 dan Nitar Timur mendoakan agar roh Allahyarham di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Felda Nitar 1.

Kempen Anti Dadah Peringkat Sekolah

Kempen Anti Dadah Peringkat SK Nitar 1 akan diadakan pada 12 hingga 16 April 2010. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah dalam memberikan kesedaran kepada generasi muda tentang bahaya dadah. Pelbagai langkah penerangan, ceramah, pameran dan sebagainya telah dilakukan oleh pihak sekolah dalam menjalankan kempen membanteras gejala najis dadah. Memandangkan bilangan penagih dadah yang semakin meningkat di kalangan generasi muda Felda Nitar 1, pihak sekolah sekali lagi menjalankan tugas sebagai pembasmi gejala najis ini. Melalui kempen yang dijalankan di sekolah, diharap generasi bakal pemimpin masa depan ini tidak akan mudah terpedaya dengan hasutan pengedar dadah yang sentiasa 'lapar' mencari pelanggan baru. Pihak sekolah menyeru agar ibu bapa dan ahli masyarakat Felda Nitar 1 berganding bahu membanteras 'busuk najis' ini. Berikan sokongan kepada program yang dijalankan oleh pihak sekolah. Di sini disediakan alamat web Agensi Anti dadah Kebangsaan sebagai sumber rujukan tentang bahaya dadah.


Khamis, April 08, 2010

KEM HUJUNG MINGGU INI

SK Nitar 1 sentiasa bergerak aktif dalam pelbagai bidang. Pada 9 hingga 10 April, Kem Ketahanan Dan Jati Diri 2010 akan diadakan. Sasarannya ialah semua pelajar Tahun 6 dan sebahagian besar pelajar Tahun 5. Penceramah jemputan ialah Mejar Zazali bin Makding dari Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.
Pada 10 April 2010, Kem Solat Bestari juga akan diadakan. Semua guru SK Nitar 1 terlibat dalam kedua-dua program hujung minggu ini.

Rabu, April 07, 2010

Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Daerah Mersing

TAHNIAH!!! Tiga pelajar telah mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan sempena Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-sekolah Daerah Mersing pada hari Isnin, 5 April 2010. Muhamad Yusuf bin Omar (Tahun 5)- Naib Johan Bercerita Kisah-kisah Nabi Kategori Lelaki, Azela Nabila binti Abdul Musa (Tahun 5)- Ketiga Bercerita Kisah-kisah Nabi Kategori Perempuan dan Muhammad Shafiq bin Mahmur (Tahun 6)- Ketiga Hafazan. Terima kasih kepada Ustaz Ruzlan, Ustaz Aziz, Ustazah Wan Noorhanida dan Ustazah Halimah.


AL-FATIHAH

Bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Tuan Haji Azman, Guru Penolong Kanan SMK Nitar yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari ini 7 April 2010 kerana kemalangan jalanraya. Allahyarham kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di SMK Nitar. Kita doakan roh Allahyarham di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Isnin, April 05, 2010

Olahraga MSSM Daerah Mersing - Pingat Emas Tunggal

Tahniah kepada adik Siti Syafiqah binti Loso yang telah berjaya memenangi pingat emas acara lompat tinggi perempuan 10 tahun. Sekolah bangga dengan kejayaan pelajar ini. Tahniah juga diucapkan kepada semua atlit sekolah yang lain. Kalah kali ini tidak bermakna kalah seterusnya. Jadikan kekalahan sebagai satu lompatan untuk kemenangan.


Adik Siti Syafiqah binti Loso

Jumaat, April 02, 2010

Kamera Sana Sini SK Nitar 1