Isnin, Mei 31, 2010

MINGGU PEPERIKSAAN

Minggu lalu pelajar-pelajar Tahun 6 telah selamat menjalani UPPM 2.  Minggu peperiksaan berterusan minggu ini. Mulai 1 Jun hingga 4 jun 2010, PKSR 1 akan dilalui oleh pelajar-pelajar Tahun 1 hingga Tahun 5. Ibu bapa diharap dapat membantu anak-anak di rumah untuk mengulangkaji. SELAMAT MENJALANI UJIAN.

Rabu, Mei 26, 2010

SUKAN PRA SEKOLAH DAERAH MERSING

Pada 24 Mei 2010 yang lalu, Sukan Pra Sekolah Daerah Mersing telah diadakan. Ada sinar emas telah dikecapi oleh SK Nitar 1. Adik Syaza Atika bt Mat Razi telah menjuarai acara pecut 60 meter. Adik Syaza Atika juga mendapat tempat keempat dalam acara lompat jauh. Tahniah kepada adik Syaza Atika dan guru-guru yang telah bersatu tenaga membentuk kejayaan pelajar tersebut. Kini SK Nitar 1 mempunyai permata yang bakal menggegarkan dunia olahraga pada masa hadapan.

Jumaat, Mei 14, 2010

SELAMAT HARI GURU - 16 MEI 2010

Guru... kau penyuluh hidup kami
Tanpamu tidak kukenali ABC...
Usah serik melayan keletah kami
Usah tertekan cuitan ibu bapa kami
Keranamu guru.... cerdiknya kami

Luahan bicara Muhamad Azim Faris bin Roslee

Rabu, Mei 12, 2010

KIP Nitar 1 - Berat sama dipikul

Amalan bantu membantu merupakan satu perbuatan rutin kepada semua penghuni KIP Nitar 1. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dalam paparan ini, suasana damai di KIP Nitar 1 begitu memberikan kedamaian dan ketenangan kepada setiap penghuninya. Semua masalah yang perlu dikongsi dikemukakan dan diselesaikan bersama-sama. Dalam paparan ini, dua buah rumah KIP Nitar 1 mengalami masalah paip bocor. Semua penghuni KIP Nitar 1 terus bergotong-royong membaikinya bersama-sama penduduk setempat yang mempunyai kemudahan jentera berat. Inilah eratnya silaturrahim antara penghuni KIP Nitar 1 dan masyarakat setempat. Inilah amalan yang baik yang telah ditunjukkan masyarakat pendidik di KIP Nitar 1 dengan masyarakat setempat.

Jumaat, Mei 07, 2010

AKTIVITI KUARTERS GURU KIP NITAR 1

Pelbagai program kemasyarakatan telah dianjurkan oleh Kuarters Guru KIP Nitar 1. Antaranya majlis Yassin dan Tahlil, gotong-royong dan Program Bantu-Membantu. Program lain yang dalam peringkat perancangan ialah Rumah Ceria, Rumah Mesra Hijau dan Rumah Mesra Alam.

Khamis, Mei 06, 2010

H1N1 - CEGAH SEBELUM BAWA PADAH

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Ibu bapa diingatkan agar menggalakkan anak-anak ke sekolah dengan memakai penutup mulut dan hidung terutamanya bagi murid-murid yang batuk dan selesema. Antara gejala H1N1 ialah demam dan mengalami salah satu gejala berikut; batuk, sakit tekak, sukar bernafas, sakit badan dan sakit kepala. Elakkan pergi ke tempat-tempat awam atau ke majlis keramaian jika anda mengalami simptom selesema. Jika terpaksa pergi juga, pakai penutup mulut dan hidung. SK Nitar 1 sentiasa mengingatkan semua murid, guru dan kakitangan sekolah agar sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan H1N1.

Isnin, Mei 03, 2010

Pelajar Merokok- Semakin Serius- Di mana ibu bapa?

Jumlah pelajar sekolah merokok semakin meningkat. Gejala yang tidak sihat ini mesti dipandang serius oleh semua pihak. Setiap masa guru-guru di sekolah mengingatkan pelajar tentang bahaya merokok. Ramai pelajar yang merokok mengakui tabiat merokok mereka bermula di luar rumah. Mereka memberikan sebab mengapa mereka merokok? Ya, sebabnya ialah mereka meniru gaya 'macho' bapa , abang dan masyarakat sekitar yang begitu bergaya ketika merokok. Mereka cuba meniru gaya 'macho' tersebut dan akhirnya mereka terjebak dan ketagih rokok. Tidak dinafikan juga ada pelajar merokok kerana meniru guru yang merokok tetapi bilangannya tidaklah ramai.
Apa guna kita menuding jari menyalahkan orang itu orang ini yang menjadi penyebab ramai pelajar merokok. Bersama-samalah kita cari formula terbaik untuk menyelamatkan generasi masa depan daripada terjerumus ke lembah kehancuran kerana dari rokoklah bermulanya 'cinta' kepada ganja dan najis dadah. Slaid yang dilampirkan di bawah hendaklah kita jadikan iktibar. Relakah anak atau anak didik kita sedemikian?