Jumaat, Ogos 05, 2011

SEMANGAT KEMERDEKAAN

Jati diri yang ada di sanubari guru-guru SK Nitar 1 terluah melalui penghasilan bendera sepanjang 20 meter. Kini bendera tersebut hampir siap untuk dipamerkan. JIWA MERDEKA PENDIDIK SK NITAR 1.


Rabu, Ogos 03, 2011

TRAGEDI 31 JULAI DI NITAR 1

Tiada siapa sangka, pada jam 9.15 pagi, ketika semua sibuk membuat persiapan menyambut Ramadhan pada hari esok, sebuah lori yang membawa buah kelapa sawit terbabas setelah hilang kawalan dan terbalik berhampiran kedai runcit Encik Jamean. 
Lori yang dikatakan membawa sawit melebihi muatan dari arah Kluang gagal dikawal kerana brek tidak berfungsi. Lori yang dalam perjalanan ke Mersing cuba membelok di simpang ke arah Mersing tetapi memandangkan ramai pelanggan sedang bersarapan di warung-warung di simpang tersebut, pemandu lori membuat keputusan untuk terus ke jalan perkampungan Felda Nitar 1. 
Lori tersebut meluncur laju dan hilang kawalan lalu terbalik di hadapan kedai runcit Jamean. Tragedi itu hampir meragut nyawa seorang kanak-kanak yang berusia dua tahun yang tertimbus di bawah timbunan kelapa sawit. Kanak-kanak tersebut diselamatkan oleh orang ramai yang bertindak pantas memberikan bantuan. Maklumat lanjut boleh dirujuk di dalam akhbar Metro.

Rabu, Julai 13, 2011

PERSEMBAHAN SILAT SK NITAR 1

Berikut ialah antara aksi pesilat-pesilat cilik SK NItar 1 dalam beberapa persembahan yang telah dibuat sepanjang tahun 2011. Pihak pengurusan silat SK Nitar 1 bersedia untuk menerima jemputan membuat persembahan di mana-mana sekolah yang berminat. Silat merupakan warisan Melayu yang perlu diperluas dan dipertahankan. SK Nitar 1 sedang berusaha mengembangkan warisan seni mempertahankan diri ini di semua sekolah di daerah Mersing.

Selasa, Julai 05, 2011

LARIAN 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA















SK Nitar 1 Juara Pencak Silat Karnival Kokurikulum Pendidikan Johor










SAPU BERSIH. Itulah yang telah SK Nitar 1 lakukan dalam Pertandingan Pencak Silat Karnival Kokurikulum Pendidikan Negeri Johor yang telah diadakan di SMK Tenggaroh A pada 25 Jun yang lalu. SK Nitar 1 Johan Kategori:
Seni Tari Silat Putera (Mohamad Azin Faris bin Roslee)
Seni Tari Silat Puteri (Nur Fitrah bt Abdull Muttalib)
Seni Tempur Putera (Mohamad Azim Faris Roslee dan Mohamad Fahmi Rahem)
Seni Tempur Puteri (Nur Fitrah Abdull Muttalib dan Azela Nabila Abdul Musa)
TAHNIAH!!!!!!

Ahad, Jun 12, 2011

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

Setelah bercuti selama dua minggu, tanggungjawab sebagai guru dan murid mesti diteruskan kembali. Selamat menjalankan tanggungjawab masing-masing. Kepada pelajar Tahun 6, urusan penting menanti....UPSR. Selamat belajar. Kepada guru-guru, selamat mengajar dan mendidik.

Khamis, Mei 26, 2011

GURU ZON NITAR AMAT AKTIF

Bermula 16 Mei 2011 (Hari Guru), guru-guru Zon Nitar (SMK Nitar, SK Nitar 1, SK Nitar 2 dan SK Tanah Abang) telah mengorak langkah menubuhkan Permuafakatan Kelab Guru Zon Nitar. Pada 17 Mei 2011, Pertandingan Futsal telah diadakan di Dewan Futsal Felda Nitar 2. Dalam pertandingan tersebut SK Tanah Abang telah menjuarai pertandingan tersebut, SK Nitar 1 Naib Juara, SMK Nitar ketiga dan SK Nitar 2 keempat. Silaturrahim terjalin kukuh buat guru-guru ini.


Pada 20 Mei 2011, gabungan kelab guru ini juga telah mengadakan perlawanan bolasepak persahabatan dengan staf kilang Felda Nitar 2. Dalam perlawanan tersebut guru-guru Zon Nitar ini menunjukkan mutu permainan yang tinggi. Keputusannya seri 2-2.
Pada  25 Mei 2011, diadakan pula perlawanan bolasepak dengan pasukan Belia Felda Nitar 1. Tenaga muda Belia Felda Nitar 1 amat berbeza dengan tenaga yang ada pada guru-guru Zon Nitar tapi pengalaman dan kemahiran telah mengatasi tenaga muda. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Pada 26 Mei 2011 malam ini jam 9.00 malam di Dewan Felda Nitar 1), perlawanan ping pong pula diadakan. Banyak lagi perancangan dibuat antaranya perlawanan bola tampar, sepaktakraw dan mungkin juga menyertai Liga Bolasepak Mersing.

Isnin, Mei 09, 2011

Murid Harapan Sekolah 2011

Pelajar Target 5A UPSR 2011

SK Nitar 1 Mewakili Mersing Ke Pertandingan Pencak Silat Sekolah-sekolah Negeri Johor

Pada 28-30 April lalu, 4 pelajar SK Nitar 1 iaitu Mohamad Azim Faris bin Roslee, Mohamad Fahmi bin Rahem, Azila Nabila bt Abdul Musa dan Nurfitrah bt Abdull Muttalib telah mewakili daerah Mersing ke Pertandingan Pencak Silat Sekolah-sekolah Negeri Johor di SM Teknik Perdagangan Johor Bahru. Tahniah kepada mereka. Tahniah jua kepada Encik Saiful Afandi bin Awang dan Encik Mohd Karmani bin Ibrahim yang bersama-sama pelajar terbabit. Ini tahun kesembilan SK Nitar 1 mewakili Mersing ke peringkat negeri sejak tahun 2003. Tahniah.

SK NITAR 1 JUARA INOVASI KARNIVAL DOKTOR MUDA NEGERI JOHOR

Tahniah kepada Encik Mohd Karmani bin Ibrahim kerana telah berjaya membimbing pasukan sekolah yang diwakili oleh Muhammad Muhaimin Haikal bin Mohd Fadil, Muhamad Yusof bin Omar dan Muhammad Syamim bin Surahamat sebagai juara kategori Inovasi Karnival Doktor Muda Peringkat Negeri Johor. Mereka akan mewakili Johor ke peringkat kebangsaan. Tahniah.... Nitar 1 Tidak Gentar.

Jumaat, Mac 04, 2011

1 MALAYSIA MEMBANTERAS DADAH



Bermula 28 Februari 2011, Majlis Pelancaran Kempen Minggu Pencegahan Dadah telah dirasmikan oleh En.  Rashidi bin Mat Jalil, Guru Besar SK Nitar 1. Temanya ialah '1 Malaysia Membanteras Dadah'. Dalam ucapan pelancaran, Tuan Guru Besar menegah sama sekali pelajar daripada mendekati rokok kerana rokoklah punca atau kunci kepada penagihan najis dadah. Pelajar diingatkan agar menjadi pewaris negara yang sihat dan bersih daripada najis dadah.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang minggu. Antaranya pertandingan melukis poster, pertandingan mewarna, pertandingan menulis esei, mendeklamasi sajak dan sketsa 'Bicara Rokok Dan Dadah'. Setiap hari pelajar diingatkan mengenai kesan rokok dan penagihan dadah kepada negara. Pelbagai poster telah ditampal bagi mengingatkan pelajar mengenai bahaya dadah.
Kempen ini akan diteruskan sepanjang tahun bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pelajar mengenai bahaya dan bahana najis dadah. Ibu bapa juga digalakkan agar sentiasa menekankan kepada anak-anak tentang bahaya dadah.
Apabila menyebut tentang najis dadah, sudah pasti ianya berpunca daripada tabiat berjinak dengan rokok. Apabila ketagihan rokok telah meresap ke dalam diri, sesuatu yang lebih 'high' pasti akan ditagih. Maka bermulalah dadah menjadi cubaan pada peringkat awal. 'Terlajak perahu boleh diundur' tapi tetapi sekali mencuba najis dadah, bala yang dijemput. 
Sekadar mengingati diri sendiri dan rakan-rakan, bersama-samalah kita membanteras najis dadah. Dadah tidak mengenal usia atau bangsa. Relakah anak anda dikuasai najis dadah? Sanggupkah anda menjadi hamba dadah?  

Selasa, Mac 01, 2011

UPPM 1

Peringatan kepada ibu bapa/ penjaga pelajar SK NItar 1. Pada 8 hingga 10 Mac 2011, UPPM 1 akan diadakan kepada pelajar Tahun 2 hingga Tahun 6. Pastikan anak-anak mengulangkaji di rumah sebagai persiapan menghadapi UPPM 1 ini. Kerjasama daripada semua ibu bapa/ penjaga amatlah diharapkan agar kecemerlangan akan menjadi milik mereka.

Khamis, Februari 24, 2011

OBESITI SEMAKIN SERIUS DI KALANGAN KANAK-KANAK SEKOLAH








Ada yang panggil montel, comel dan bulat. Malah ada juga panggilan 'boroi', 'gedempol' atau 'gendut'. Ini semua daripada bentuk fizikal gemuk. Perkataan obesiti adalah lebih tepat daripada istilah sains. Masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia memang semakin bertambah. Ini semua terjadi berdasarkan amalan pemakanan seharian atau amalan kehidupan seharian.
Hari ini jika kita melihat atau menjengah ke sekolah, kita dapati bilangan pelajar sekolah yang berada dalam kategori obesiti semakin bertambah. Malah boleh dikatakan setiap kelas akan ada antara 1-3 orang pelajar yang berada dalam kategori obesiti.
Mungkin ianya belum ketara tapi kita mesti memandang secara serius perkara ini daripada sudut kesihatan. Mungkin di sekolah guru-guru mata pelajaran pendidikan kesihatan atau sains boleh menyentuh permasalahan ini secara lebih ilmiah dan membantu pelajar-pelajar ini bagi mengelak obesiti.
Kita lihat pula di rumah, apa yang dimakan dan dihidangkan oleh ibu bapa? Pernahkah ibu bapa diberikan pendedahan tentang pemakanan yang seimbang? Adakah ibu bapa tahu apa itu obesiti dan impaknya pada masa akan datang jika tidak dikawal?
Kementerian Kesihatan melalui media cetak dan elektronik setiap masa menjelaskan tentang obesiti, kesan dan akibat serta memberikan cara untuk mengatasi masalah ini. Sepatutnya ibu bapa telah pun memiliki pengetahuan ini. Mungkin melihat 'kecomelan' dan 'kemontelan' anak menjadikan mereka lupa bahawa sekiranya ianya 'berkekalan' sehingga dewasa, ianya pasti menjadi satu masalah.
Ingatan kepada semua, cuba elakkan obesiti kerana masalah ini boleh dielak daripada diri kita sendiri.

Rabu, Februari 23, 2011

PEMANTAUAN JEMAAH NAZIR

Semua sekolah di daerah Mersing akan dilawati oleh Jemaah Nazir, JPN dan PPD pada 17-24 April 2011. Pemantauan pelaksanaan LINUS menjadi agenda utama pemantauan. Setiap sekolah mungkin akan menerima 4-6 orang pemantau. Mereka akan memantau semua aspek dari sistem fail hingga pengajaran dan pembelajaran guru.
Kehadiran mereka amat dialu-alukan bagi mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan pentadbiran.

Jumaat, Januari 28, 2011

CUTI PERAYAAN TAHUN BARU CINA - PERANAN IBU BAPA

Cuti dikaitkan dengan rehat dan santai. Dalam kehidupan pelajar sekolah, cuti sebenarnya masa yang akan digunakan sepenuhnya untuk berada di rumah bersama-sama ahli keluarga. Malah mereka dapat mengelak daripada merasai suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Bagi guru pula, cuti akan digunakan untuk bersama kaum keluarga namun dalam fikiran dan rutinnya, mereka akan tetap menggunakan otak mereka untuk mencari seberapa banyak maklumat dan sumber rujukan sebagai tambahan kepada pengetahuan mereka untuk dilimpahkan kepada anak didik kelak.
Ibu bapa? Cuti sekolah dihadapi dengan pelbagai reaksi. Ada yang gembira dapat bersama anak-anak dan dapat mengikuti perkembangan pelajaran mereka secara dekat, ada yang kurang gembira kerana risau anak-anak mereka menyalahgunakan masa cuti dengan perkara yang tidak berfaedah ketika ibu bapa bekerja. Ada juga yang langsung tidak gembira kerana apabila anak-anak mereka cuti maka bertambahlah tugas mereka mengawasi anak-anak sepanjang hari.
Cuti sekolah sekiranya digunakan secara bijak oleh ibu bapa pastinya akan memberikan banyak faedah kepada semua. Masa inilah paling sesuai untuk ibu bapa memperuntukkan sedikit masa menyelami dan mendekati hati dan perasaan anak-anak. Berikan perhatian mengenai prestasi pelajaran mereka. Semak buku kerja atau buku latihan dan pastinya guru-guru akan membekalkan kerja rumah semasa cuti sekolah.
Inilah masa yang sesuai untuk ibu bapa mengenali anak-anak mereka dari perspektif pendidikan ilmiah.
Sesungguhnya gunakanlah cuti perayaan Tahun Baru Cina ini sebaik mungkin. Sebagai ibu bapa, sudah pastinya mereka tahu peranan dan tanggungjawab mereka. Selalulah mengawasi gerak-geri mereka semasa di luar rumah. Sekali-sekala bawalah anak-anak berehat dan santai. Tidak perlu jauh atau membazirkan kewangan. Bersantailah di tempat menarik yang berhampiran rumah. Sekiranya persekitaran luar rumah bersih dan menarik, bersantailah dengan keluarga sambil minum petang dan jadikanlah ianya satu sesi yang indah. Selamat bercuti.

Khamis, Januari 27, 2011

SK Nitar 1 JOHAN PING PONG INDIVIDU

TAHNIAH! TAHNIAH! TAHNIAH!!! Warga SK Nitar 1 amat berbangga dan mengucapkan tahniah kepada pemain ping pong sekolah kerana berjaya membolot bersih kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan ping pong MSSD Mersing di SK Tenggaroh 3 semalam.
Juara kategori lelaki terbuka milik Muhamad Muhaimin Haikal bin Mohd Fadil dan juara kategori perempuan terbuka milik Nurul Irdina Aqilah binti Mohd Fadil. Pasangan adik beradik ini layak menjuarai pertandingan kali ini memandangkan 'projek' yang dilancarkan oleh bapa mereka amat besar nilainya. Bapa mereka, Mohd Fadil bin Othman merupakan guru di SK Nitar 1. Ibunya, Pn. Fauziah bt Omar,  juga guru di sekolah ini. Pada tahun lalu mereka membeli sendiri meja ping pong dan pasangan adik beradik ini berlatih sepanjang tahun di rumah dan di bawah kendalian bapa dan ibu mereka.
Hasilnya....... mereka memiliki anak yang menjuarai pertandingan ping pong peringkat daerah dan berazam membuat kejutan di MSSJ nanti. Tahniah juga buat wira dan wirawati sekolah yang lain. Mereka terkandas di peringkat suku akhir. Satu pencapaian yang membanggakan walaupun sekolah ini bukan sekolah projek gemilang ping pong daerah Mersing. Tahniah buaat Mohammad Azim Faris bin Roslee, Muhamad Yusof bin Omar, Muhamad Faiz bin A. Rahman dan Anis Hanim binti Ruzlan.
Adik Nurul baru berusia 10 tahun dan telah menjadi juara. Pastinya dalam masa 2 tahun lagi, mungkin Mersing akan melahirkan juara ping pong peringkat MSSJ dalam kategori perempuan. InsyaAllah. Begitu juga dengan adik Anis Hanim yang juga berusia 10 tahun.
Pastinya, SK Nitar 1 berbangga dengan wira dan wirawati ini. Teruskan rentak gemilang ini. Tahniah juga kepada teraju utama yang menjana gemilang ini iaitu Encik Mohd Fadil bin Othman, En. Aziz bin Kasim dan En. Ruzlan bin Sulong. Tanpa mereka pastinya SK Nitar 1 tidak berdiri megah sebegini dalam sukan ping pong. TAHNIAH!!!!!!!!!!!!

Rabu, Januari 26, 2011

SELAMAT BERJUANG WIRA PING PONG SK NITAR 1


Semangat membara untuk mempertahankan kejuaraan ping pong MSSD Mersing begitu menggelegak  dalam diri empat wira dan dua wirawati SK Nitar 1. Tahun lalu sekolah ini hanya menghantar peserta lelaki dan menjuarainya. Pada tahun ini perkembangan lebih menarik apabila SK Nitar 1 telah melahirkan dua 'bakal juara' kategori perempuan. Masih di Tahun 4, Nurul Irdina Aqilah bt Mohd Fadil dan Anis Hanim bt Ruzlan telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa. Latihan sejak akhir tahun 2010 hungga kini telah mematangkan teknik permainan mereka.
Kategori lelaki pula di ketuai oleh juara bertahan, Muhamad Muhaimin Haikal bin Mohd Fadil, Muhamad Yusof bin Omar, Mohammad Azim Faris bin Roslee dan Muhamad Faiz bin Abd. Rahman. Memiliki permainan yang seimbang antara mereka, dijangkakan mereka mampu melonjakkan corak permainan yang pastinya akan mengejutkan pasukan lain terutamanya peserta sekolah projek ping pong MSSD Mersing, SK Tenggaroh 3 yang juga bertindak selaku tuan rumah.
Hari ini segala penat lelah mereka berlatih sejak tahun lalu lagi akan terjawab.Warga SK NItar 1 mendoakan kejayaan gemilang buat wira dan wirawati sekolah.

Isnin, Januari 17, 2011

SELAMAT BERPINDAH

SK Nitar 1 kehilangan seorang lagi guru. Kali ini tiba giliran Hajjah Azayiah bt Md. Tahir, Guru Penolong Kanan Kurikulum. Hampir tiga tahun menabur khidmat bakti di sekolah ini, akhirnya Hajjah Azayiah berpindah ke SK Taman Kota, Yong Peng sebagai GPK Kokurikulum.
Sesungguhnya ianya merupakan satu kehilangan yang amat besar. Beliau merupakan ketua penanda BM UPSR. Ilmu yang ada pada beliau sebenarnya masih ditagih.
Warga SK Nitar 1 mengucapkan selamat maju jaya kepada Hajjah Azayiah dan seterusnya berjaya dalam kerjaya ini di sekolah baru. Kami akan merindui budi dan jasa Hajjah.

Selasa, Januari 04, 2011

Hari Pertama Persekolahan



Selamat tinggal 2010 dan kedatangan 2011 pastinya diiringi azam baru yang lebih mantap. Hari pertama persekolahan diwarnai dengan pelbagai gelagat pelajar, guru dan ibu bapa. Bagi pelajar Tahun 1 yang baru menjejakkan kaki di sekolah secara rasmi menjadi generasi pertama KSSR.
Warga SK Nitar 1 amat ceria pada hari pertama persekolahan. Para guru dan pekerja datang seawal 6.45 pagi. Ini isyarat awal bahawa akan muncul satu sinar kegemilangan pada tahun 2011 ini. InsyaAllah. Malah pengajaran dan pembelajaran di kelas terus dilaksanakan serta berjalan lancar. Taklimat kepada ibu bapa Tahun 1 juga mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran ibu bapa yang ramai.
Teruskan hari gemilang ini ke arah kegemilangan sekolah ini. Sesungguhnya hari pertama ini merupakan tanda awal bahawa SK Nitar 1 akan bangkit melahirkan generasi celik ilmu dunia dan akhirat, celik akal, celik huruf dan nombor. Pastinya 5A dalam UPSR akan GEMPAK!!!!!