Jumaat, Januari 28, 2011

CUTI PERAYAAN TAHUN BARU CINA - PERANAN IBU BAPA

Cuti dikaitkan dengan rehat dan santai. Dalam kehidupan pelajar sekolah, cuti sebenarnya masa yang akan digunakan sepenuhnya untuk berada di rumah bersama-sama ahli keluarga. Malah mereka dapat mengelak daripada merasai suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Bagi guru pula, cuti akan digunakan untuk bersama kaum keluarga namun dalam fikiran dan rutinnya, mereka akan tetap menggunakan otak mereka untuk mencari seberapa banyak maklumat dan sumber rujukan sebagai tambahan kepada pengetahuan mereka untuk dilimpahkan kepada anak didik kelak.
Ibu bapa? Cuti sekolah dihadapi dengan pelbagai reaksi. Ada yang gembira dapat bersama anak-anak dan dapat mengikuti perkembangan pelajaran mereka secara dekat, ada yang kurang gembira kerana risau anak-anak mereka menyalahgunakan masa cuti dengan perkara yang tidak berfaedah ketika ibu bapa bekerja. Ada juga yang langsung tidak gembira kerana apabila anak-anak mereka cuti maka bertambahlah tugas mereka mengawasi anak-anak sepanjang hari.
Cuti sekolah sekiranya digunakan secara bijak oleh ibu bapa pastinya akan memberikan banyak faedah kepada semua. Masa inilah paling sesuai untuk ibu bapa memperuntukkan sedikit masa menyelami dan mendekati hati dan perasaan anak-anak. Berikan perhatian mengenai prestasi pelajaran mereka. Semak buku kerja atau buku latihan dan pastinya guru-guru akan membekalkan kerja rumah semasa cuti sekolah.
Inilah masa yang sesuai untuk ibu bapa mengenali anak-anak mereka dari perspektif pendidikan ilmiah.
Sesungguhnya gunakanlah cuti perayaan Tahun Baru Cina ini sebaik mungkin. Sebagai ibu bapa, sudah pastinya mereka tahu peranan dan tanggungjawab mereka. Selalulah mengawasi gerak-geri mereka semasa di luar rumah. Sekali-sekala bawalah anak-anak berehat dan santai. Tidak perlu jauh atau membazirkan kewangan. Bersantailah di tempat menarik yang berhampiran rumah. Sekiranya persekitaran luar rumah bersih dan menarik, bersantailah dengan keluarga sambil minum petang dan jadikanlah ianya satu sesi yang indah. Selamat bercuti.

Khamis, Januari 27, 2011

SK Nitar 1 JOHAN PING PONG INDIVIDU

TAHNIAH! TAHNIAH! TAHNIAH!!! Warga SK Nitar 1 amat berbangga dan mengucapkan tahniah kepada pemain ping pong sekolah kerana berjaya membolot bersih kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan ping pong MSSD Mersing di SK Tenggaroh 3 semalam.
Juara kategori lelaki terbuka milik Muhamad Muhaimin Haikal bin Mohd Fadil dan juara kategori perempuan terbuka milik Nurul Irdina Aqilah binti Mohd Fadil. Pasangan adik beradik ini layak menjuarai pertandingan kali ini memandangkan 'projek' yang dilancarkan oleh bapa mereka amat besar nilainya. Bapa mereka, Mohd Fadil bin Othman merupakan guru di SK Nitar 1. Ibunya, Pn. Fauziah bt Omar,  juga guru di sekolah ini. Pada tahun lalu mereka membeli sendiri meja ping pong dan pasangan adik beradik ini berlatih sepanjang tahun di rumah dan di bawah kendalian bapa dan ibu mereka.
Hasilnya....... mereka memiliki anak yang menjuarai pertandingan ping pong peringkat daerah dan berazam membuat kejutan di MSSJ nanti. Tahniah juga buat wira dan wirawati sekolah yang lain. Mereka terkandas di peringkat suku akhir. Satu pencapaian yang membanggakan walaupun sekolah ini bukan sekolah projek gemilang ping pong daerah Mersing. Tahniah buaat Mohammad Azim Faris bin Roslee, Muhamad Yusof bin Omar, Muhamad Faiz bin A. Rahman dan Anis Hanim binti Ruzlan.
Adik Nurul baru berusia 10 tahun dan telah menjadi juara. Pastinya dalam masa 2 tahun lagi, mungkin Mersing akan melahirkan juara ping pong peringkat MSSJ dalam kategori perempuan. InsyaAllah. Begitu juga dengan adik Anis Hanim yang juga berusia 10 tahun.
Pastinya, SK Nitar 1 berbangga dengan wira dan wirawati ini. Teruskan rentak gemilang ini. Tahniah juga kepada teraju utama yang menjana gemilang ini iaitu Encik Mohd Fadil bin Othman, En. Aziz bin Kasim dan En. Ruzlan bin Sulong. Tanpa mereka pastinya SK Nitar 1 tidak berdiri megah sebegini dalam sukan ping pong. TAHNIAH!!!!!!!!!!!!

Rabu, Januari 26, 2011

SELAMAT BERJUANG WIRA PING PONG SK NITAR 1


Semangat membara untuk mempertahankan kejuaraan ping pong MSSD Mersing begitu menggelegak  dalam diri empat wira dan dua wirawati SK Nitar 1. Tahun lalu sekolah ini hanya menghantar peserta lelaki dan menjuarainya. Pada tahun ini perkembangan lebih menarik apabila SK Nitar 1 telah melahirkan dua 'bakal juara' kategori perempuan. Masih di Tahun 4, Nurul Irdina Aqilah bt Mohd Fadil dan Anis Hanim bt Ruzlan telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa. Latihan sejak akhir tahun 2010 hungga kini telah mematangkan teknik permainan mereka.
Kategori lelaki pula di ketuai oleh juara bertahan, Muhamad Muhaimin Haikal bin Mohd Fadil, Muhamad Yusof bin Omar, Mohammad Azim Faris bin Roslee dan Muhamad Faiz bin Abd. Rahman. Memiliki permainan yang seimbang antara mereka, dijangkakan mereka mampu melonjakkan corak permainan yang pastinya akan mengejutkan pasukan lain terutamanya peserta sekolah projek ping pong MSSD Mersing, SK Tenggaroh 3 yang juga bertindak selaku tuan rumah.
Hari ini segala penat lelah mereka berlatih sejak tahun lalu lagi akan terjawab.Warga SK NItar 1 mendoakan kejayaan gemilang buat wira dan wirawati sekolah.

Isnin, Januari 17, 2011

SELAMAT BERPINDAH

SK Nitar 1 kehilangan seorang lagi guru. Kali ini tiba giliran Hajjah Azayiah bt Md. Tahir, Guru Penolong Kanan Kurikulum. Hampir tiga tahun menabur khidmat bakti di sekolah ini, akhirnya Hajjah Azayiah berpindah ke SK Taman Kota, Yong Peng sebagai GPK Kokurikulum.
Sesungguhnya ianya merupakan satu kehilangan yang amat besar. Beliau merupakan ketua penanda BM UPSR. Ilmu yang ada pada beliau sebenarnya masih ditagih.
Warga SK Nitar 1 mengucapkan selamat maju jaya kepada Hajjah Azayiah dan seterusnya berjaya dalam kerjaya ini di sekolah baru. Kami akan merindui budi dan jasa Hajjah.

Selasa, Januari 04, 2011

Hari Pertama Persekolahan



Selamat tinggal 2010 dan kedatangan 2011 pastinya diiringi azam baru yang lebih mantap. Hari pertama persekolahan diwarnai dengan pelbagai gelagat pelajar, guru dan ibu bapa. Bagi pelajar Tahun 1 yang baru menjejakkan kaki di sekolah secara rasmi menjadi generasi pertama KSSR.
Warga SK Nitar 1 amat ceria pada hari pertama persekolahan. Para guru dan pekerja datang seawal 6.45 pagi. Ini isyarat awal bahawa akan muncul satu sinar kegemilangan pada tahun 2011 ini. InsyaAllah. Malah pengajaran dan pembelajaran di kelas terus dilaksanakan serta berjalan lancar. Taklimat kepada ibu bapa Tahun 1 juga mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran ibu bapa yang ramai.
Teruskan hari gemilang ini ke arah kegemilangan sekolah ini. Sesungguhnya hari pertama ini merupakan tanda awal bahawa SK Nitar 1 akan bangkit melahirkan generasi celik ilmu dunia dan akhirat, celik akal, celik huruf dan nombor. Pastinya 5A dalam UPSR akan GEMPAK!!!!!

Sabtu, Januari 01, 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2011 DAN KEMBALI KE SEKOLAH

Selamat Tahun Baru 2011 dan Selamat Kembali ke Sekolah. Pada 27-28 Disember 2010, guru-guru SK Nitar 1 telah bermesyuarat. Hala tuju kecemerlangan 2011 dirancang dengan teliti dan sistematik.
Untuk makluman ibu bapa, pada 1 Januari 2011, pendaftaran pelajar Tahun 1 hingga 6 serta pembayaran yuran dan pembelian buku tulis akan dilaksanakan.