Ramai warga guru Felda Nitar 1 yang menghuni Kuarters Guru KIP Nitar 1 yang menyambut Aidil Adha di sini. Kemeriahan tetap dirasakan walaupun jauh daripada keluarga. 2 ekor lembu telah dikorbankan dan jamuan Aidil Adha telah diadakan. Amat meriah dan hilang seketika kerinduan kampung halaman.
Khamis, November 18, 2010
Khamis, November 11, 2010
NOR AMELIA BINTI SUHAIMI - 5A UPSR 2010
TAHNIAH kepada Nor Amelia binti Suhaimi kerana pelajar tunggal mendapat 5A dalam UPSR 2010. Banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh adik Amelia sebelum menncapai 5A. Dalam tahun yang sama (2010), ketika bersiap sedia untuk UPSR, adik Amelia telah kehilangan bapa tersayang buat selama-lamanya. Berita bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya amat menyentap hati dan perasaannya.
Namun ketabahan, kecekalan dan kekuatan mental adik Amelia, semua itu diketepikan buat seketika dan persiapan menghadapi UPSR diteruskan. Dalam kesedihan dan kepiluan, akhirnya adik Amelia berjaya mencapai keputusan 5A dalam UPSR 2010. Berat mata memandang, berat lagi bahu adik Amelia yang memikul. Tahniah buat adik Amelia. Warga SK Nitar 1 bangga dengan anda yang juga cemerlang dalam aktiviti kokurikulum peringkat daerah dan negeri.
Selasa, November 09, 2010
KEPUTUSAN UPSR PADA HARI KHAMIS
Tanggal 11 November 2010 menjadi satu tarikh yang amat dinantikan oleh semua warga sekolah rendah seluruh negara. Keputusan UPSR akan diumumkan pada hari Khamis ini. Debaran pastinya amat dirasai oleh semua yang terlibat, pelajar, guru, ibu bapa dan sanak saudara. Warga SK Nitar 1 sentiasa mendoakan agar sekolah ini akan mencapai tahap kecemerlangan bermula dengan keputusan UPSR 2010.
Selasa, Oktober 26, 2010
JASAMU DIKENANG - CIKGU FAIZAL BIN HASHIM
SK LKTP Nitar 1 kehilangan seorang lagi guru terbaik dalam mengharungi arus pendidikan. Encik Faizal bin Hashim telah berpindah ke SK Nitar 2. Ini merupakan satu kehilangan yang besar kepada SK LKTP Nitar 1. Panggilan manja 'Cikgu Ical' amat sinonim dengan diri beliau. Dalam bidang akademik dan ICT beliau merupakan 'pakar' di SK Nitar 1. Dalam bidang sukan, beliau terkenal sebagai guru yang sering mengesan bakat pelajar dalam acara lancar lembing dan lontar peluru. Banyak kejayaan dalam bidang tersebut hasil sentuhan hebat cikgu Ical.
Warga SK LKTP Nitar 1 mengucapkan selamat bertugas di SK Nitar 2 kepada Cikgu Faizal dan teruskan kecemerlangan anda.
Khamis, September 30, 2010
PERMOHONAN ATAS TALIAN- KEMASUKAN MURID KE TINGKATAN 1 DI SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) BAGI TAHUN 2011
1. Permohonan perlu dibuat dengan mengisi borang secara online. Klik pada permohonan secara online di bawah.
2. Tarikh tutup : 15 Oktober 2010
3. Cetak Borang Permohonan yang telah lengkap sebanyak dua salinan. Salinan pertama perlu dihantar kepada Guru Besar sekolah dan salinan kedua dihantar kepada Pengetua SBP yang dipilih.
Rabu, September 29, 2010
RESPON TAHAP SOALAN UPSR 2010
Kajian ini dilakukan di kalangan calon UPSR SK Nitar 1 seramai 36 orang bagi lima mata pelajaran (Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Matematik, Sains, Bahasa Inggeris), selepas tamat UPSR pada 23 September yang lalu.
Senang - 12%
Boleh tahan - 33%
Susah - 55%
Rabu, September 22, 2010
RESPON TAHAP SOALAN UPSR 2010
Setelah dua hari UPSR dilalui, tiga kertas telah dijawab pelajar iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan dan Matematik. Hasil soal selidik di kalangan pelajar UPSR SK Nitar 1, 62% calon kata senang, 18% kata bolehlah dan 20% kata susah. Hari terakhir mereka akan menduduki kertas Sains dan Bahasa Inggeris serta kertas Aptitud. Kita tunggu respon sehingga hari terakhir.
Isnin, September 20, 2010
SELAMAT MANGHADAPI UPSR
Seluruh warga SK Nitar 1 mendoakan semua calon UPSR sekolah ini yang akan menghadapi ujian ini mulai 21 September hingga 23 september diberikan hidayah dan diterangi hati dan minda agar dapat menjawab soalan-soalan UPSR dengan tenang, betul dan tepat dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang. InsyaAllah.
Rabu, September 15, 2010
UPSR DAN RAYA
Pada 21 September- 23 September 2010, pelajar Tahun 6 seluruh negara akan menghadapi UPSR. Pelbagai cabaran, cubaan dan dugaan mereka lalui dalam menuju tarikh keramat tersebut. Paling teruji ialah dalam menghadapi persiapan menghadapi UPSR, Hari Raya Aidil Fitri dilalui terlebih dahulu. Cuti panjang sebelum hari raya juga menguji ketahanan diri dalam menghadapi UPSR.
Pada raut wajah guru-guru, timbul kebimbangan sepanjang cuti pelajar Tahun 6 akan leka seketika dan paling ditakuti 'mood' pelajar Tahun 6 masih lagi belum kembali kepada 'mood' UPSR. Sebenarnya pelbagai kelas tanbahan telah dibuat oleh guru-guru sebelum hari raya dan awal hari raya juga ada guru yang mengorbankan cuti raya dengan mengadakan kelas tambahan. Itulah pengorbanan pendidik yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar oleh masyarakat.
Sepanjang cuti, ibu bapa pelajar UPSR MESTILAH sentiasa mengekalkan anak-anak mereka dengan 'mood' UPSR. Bagaimana? Ikutlah kebijaksanaan ibu bapa dalam mendidik anak-anak di rumah. Masing-masing ada teknik dan kaedah sendiri. Doa dari kami warga pendidik SK Nitar 1, kecemerlangan tetap akan dimiliki bagi individu yang tidak pernah serik berusaha untuk cemerlang. InsyaAllah.
Masih dalam 'mood' raya
14 September 2010, SK Nitar 1 telah memulakan sesi persekolahan selepas bercuti selama lebih seminggu sempena sambutan Aidil Fitri. Pada hari tersebut, topik utama yang dibincangkan oleh lebih daripada 95% pelajar ialah sambutan hari raya yang telah mereka lalui. Banyak peristiwa manis yang diceritakan kepada rakan sebaya dan juga kepada guru-guru. Paling hangat ialah jumlah duit raya yang mereka dapat.
Ketika pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa, senyuman yang terpacul daripada wajah mereka membuktikan mereka masih dalam 'mood' raya dan dalam pemikiran meraka ada perancangan yang rapi sedang disusun iaitu "rumah guru mana yang mereka akan kunjungi dahulu dan seterusnya mengutip seberapa banyak duit raya". Itulah gelagat murid kita dan ianya merupakan warisan sejak dahulu termasuklah zaman kita menjadi mereka. SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.
Jumaat, September 03, 2010
TARIKH MULA BERSEKOLAH
Perhatian kepada semua ibu bapa. SK Nitar 1 akan mula bersekolah semula setelah bercuti sempena Hari Raya Aidil Fitri pada 14 September 2010 (Selasa). Harap maklum.
Jumaat, Ogos 20, 2010
PROGRAM KECEMERLANGAN UPSR 2010
UPSR semakin hampir. Langkah bagi memastikan semua calon UPSR bersedia telah dirancang dengan teliti. Sepanjang Ramadhan ini, guru-guru SK Nitar 1 telah mengadakan kelas tambahan mulai jam 1.15 tengahari hingga 2.15 petang. Calon UPSR dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut mata pelajaran yang mereka tidak kuasai. Kelas tambahan ini diadakan setiap hari Isnin hingga Khamis.
Pada malam pula mulai 8.00 malam hingga 10.00 malam, pelajar ini akan belajar secara berkumpulan di beberapa rumah rakan mereka dan diawasi oleh ibu bapa. Guru Besar, GPK dan para guru akan memantau selepas selesai solat Terawikh. Tuan Pengurus Felda Nitar 1 juga terlibat sebagai pemantau. Semua bahan untuk aktiviti kumpulan belajar ini disediakan oleh guru-guru.
Doakanlah agar hati mereka terang untuk menerima ilmu yang dipelajari.
Rabu, Ogos 18, 2010
KELEBIHAN SOLAT TARAWIH MALAM KESEMBILAN HINGGA MALAM KEDUA BELAS
Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
KSSR
Penekanan Sistem Pendidikan Negara :
1. Pembangunan modal insan.
2. Penghasilan pelajar celik minda.
3. Pembentukan warga yang menguasai ilmu, kemahiran dan maklumat.
4. Program membangunkan akal manusia dalam melahirkan Ulul Al-Bab.
Penekanan Sistem Pendidikan Negara :
1. Pembangunan modal insan.
2. Penghasilan pelajar celik minda.
3. Pembentukan warga yang menguasai ilmu, kemahiran dan maklumat.
4. Program membangunkan akal manusia dalam melahirkan Ulul Al-Bab.
Selasa, Ogos 17, 2010
KELEBIHAN SOLAT TARAWIH MALAM PERTAMA HINGGA MALAM KELAPAN
1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.
6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
Selasa, Ogos 10, 2010
LARIAN KEMERDEKAAN WARGA SK NITAR 1
Tanggal 9 Ogos 2010, semua warga SK Nitar 1 termasuk pelajar Pra Sekolah telah bersama-sama menyertai Larian Kemerdekaan di sekitar Felda Nitar 1. Larian bermula jam 8.30 pagi, jarak yang dilalui oleh warga SK Nitar 1 ini sejauh 3.4 kilometer. Program larian ini diadakan bagi memberikan mesej kepada warga Nitar 1 bahawa sekolah tidak pernah lupa memberikan pendidikan asas berkaitan perjuangan ke arah kemerdekaan. Sepanjang bulan kemerdekaan, warga SK Nitar 1 didedahkan dengan pelbagai peristiwa bersejarah yang berlaku sebelum kemerdekaan. Sekolah ini ingin melahirkan anak didik yang terbilang dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan tahu menghargai sejarah negara dan bersedia mempertahankan hak mereka di bumi tercinta ini.
Selasa, Ogos 03, 2010
Isnin, Ogos 02, 2010
SELAMAT BERTUGAS DI SK (L) BANDAR KLUANG
Setelah dua tahun berkhidmat di SK Nitar 1, Pn. Samsiah bt Basir, Guru Penolong Kanan KoKurikulum telah berpindah ke SK (L) Bandar Kluang sebagai GPK Petang. Dalam ucapan beliau semasa majlis perpisahan diadakan, beliau amat berbangga kerana telah menimba banyak pengalaman di sekolah ini. Banyak kejayaan yang telah dikecapi semasa mentadbir kokurikulum SK Nitar 1. Warga SK Nitar 1 mengucapkan selamat bertugas dan lebih berjaya di tempat baru.
Selasa, Julai 13, 2010
SELAMAT DATANG GURU BESAR BARU
MOHD RASHIDI BIN MAT JALIL
Warga SK Nitar 1 mengucapkan Selamat Datang kepada Encik Mohd Rashidi bin Mat Jalil, Guru Besar SK Nitar 1 yang baru. Sejak minggu lepas lagi kehadiran beliau telah disambut dengan penuh harapan bagi merealisasikan visi dan misi sekolah. Kesinambungan daripada pentadbiran Guru Besar terdahulu pastinya akan memberikan satu impak yang amat berkesan.
Dalam ucapan Encik Mohd Rashidi semasa perhimpunan mingguan pada 12 Julai 2010, beliau berharap SK Nitar 1 sentiasa memiliki nombor 1 dalam segala bidang yang positif. Pastinya harapan itu akan dipikul dan akan dilaksanakan oleh semua warga SK Nitar 1 secara 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'.
Rabu, Jun 30, 2010
TERIMA KASIH, ENCIK ZULKEFLI BIN MOHD AMIN
Mulai 1 Julai 2010, SK Nitar 1 akan kehilangan seorang pemimpin yang amat disayangi dan dikagumi oleh semua warga SK NItar 1. Encik Zulkefli bin Mohd Amin, mantan Guru Besar SK Nitar 1 akan menjalankan tugas dan amanah di sekolah SK Kem Iskandar, Mersing.
Sepanjang lima tahun menabur keringat di SK Nitar 1, banyak idea dan dasar yang beliau buat membuahkan pelbagai kejayaan akademik, sukan, kokurikulum dan sebagainya yang tidak terlarat untuk disenaraikan. Masyarakat Felda Nitar 1 juga mengenali beliau dan beliau amat rapat dengan pemimpin dan ibu bapa di Felda Nitar 1. Semua orang mengenalinya kerana kepimpinan yang tegas dan adil kepada semua.
Kami warga SK Nitar 1 amat terkejut apabila mendapat berita beliau akan menjalankan tugas sebagai Guru Besar di SK Kem Iskandar mulai 1 Julai 2010. Warga SK Nitar 1 mendoakan agar Encik Zulkefli bin Mohd Amin akan terus gemilang dalam wawasannya. InsyaAllah.
SELAMAT DATANG kepada Guru Besar SK Nitar 1 yang baru, Encik Mohd Rashidi bin Mat Jalil.
JASAMU DIKENANG
Selasa, Jun 29, 2010
MINGGU KEMPEN BUDI BAHASA
29 Jun hingga 2 Julai 2010, SK Nitar 1 melancarkan minggu Kempen Budi Bahasa Amalan Kita. Pada 29 Jun 2010 telah diadakan majlis pelancaran rasmi kempen tersebut. Sempena kempen tersebut pelbagai acara diadakan bagi menimbulkan reaksi spontan berbudi bahasa. Misi kempen ini boleh didapati melalui laman web Kementerian Maklumat Komunikasi dan Kebudayaan. (sila klik)
Gambar Majlis Pelancaran Rasmi Minggu Kempen Budi Bahasa Amalan Kita
Jumaat, Jun 25, 2010
Rabu, Jun 23, 2010
Kunjungan Mesra Tuan PPD Mersing
Pada jam 7.30 pagi, Tuan PPD Mersing hadir bersama beberapa Pegawai dari PPD Mersing ke SK Nitar 1. Salam yang dihulurkan oleh Tuan PPD amatlah dialu-alukan. Tuan PPD telah bertemu dengan semua pelajar Tahun 6 yang akan menghadapi UPSR. Dalam pertemuan tersebut, Tuan PPD telah memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada pelajar Tahun 6. Tuan PPD berharap 'permata ' yang ada dapat digilap dengan sebaik mungkin dalam menghasilkan sinar gemerlapan dalam UPSR.
Sesungguhnya warga SK Nitar 1 berbangga dengan "SALAM PERMATA MERSING" ke arah merealisasikan MERSING HEBAT. Kunjungan mesra sebeginilah yang sentiasa dinantikan oleh warga pendidik SK Nitar 1. Terima kasih kepada Tuan PPD Mersing dan para pegawainya yang dapat menghulurkan salam kepada kami warga SK Nitar 1 walaupun ianya sekadar beberapa minit tapi amat besar ertinya kepada para pelajar Tahun 6. Teruskan usaha murni ini.
Isnin, Jun 21, 2010
Selamat Kembali Ke Sekolah
Setelah bercuti selama 2 minggu, semua pelajar SK Nitar 1 kembali semula ke sekolah bagi meneruskan agenda kecemerlangan dalam pendidikan. Pelajar Tahun 6 SK Nitar 1 sepanjang 2 minggu lepas terlibat dengan kelas tambahan UPSR. Tahniah diucapkan kepada semua guru SK Nitar 1 dan semua pelajar Tahun 6 SK Nitar 1 kerana dapat menghadirkan diri ke kelas tambahan tersebut. Didoakan agar pengorbanan tersebut diberkati Allah. Amin.
UPSR DAN PMR DIMANSUHKAN?
Untuk rujukan dan perkongsian, klik tajuk di bawah
1. Berita Harian Online - Kenyataan Akhbar Menteri Pelajaran
2. Berita Harian Online - Pendapat Orang Ramai
1. Berita Harian Online - Kenyataan Akhbar Menteri Pelajaran
2. Berita Harian Online - Pendapat Orang Ramai
Isnin, Mei 31, 2010
MINGGU PEPERIKSAAN
Minggu lalu pelajar-pelajar Tahun 6 telah selamat menjalani UPPM 2. Minggu peperiksaan berterusan minggu ini. Mulai 1 Jun hingga 4 jun 2010, PKSR 1 akan dilalui oleh pelajar-pelajar Tahun 1 hingga Tahun 5. Ibu bapa diharap dapat membantu anak-anak di rumah untuk mengulangkaji. SELAMAT MENJALANI UJIAN.
Rabu, Mei 26, 2010
SUKAN PRA SEKOLAH DAERAH MERSING
Pada 24 Mei 2010 yang lalu, Sukan Pra Sekolah Daerah Mersing telah diadakan. Ada sinar emas telah dikecapi oleh SK Nitar 1. Adik Syaza Atika bt Mat Razi telah menjuarai acara pecut 60 meter. Adik Syaza Atika juga mendapat tempat keempat dalam acara lompat jauh. Tahniah kepada adik Syaza Atika dan guru-guru yang telah bersatu tenaga membentuk kejayaan pelajar tersebut. Kini SK Nitar 1 mempunyai permata yang bakal menggegarkan dunia olahraga pada masa hadapan.
Jumaat, Mei 14, 2010
SELAMAT HARI GURU - 16 MEI 2010
Guru... kau penyuluh hidup kami
Tanpamu tidak kukenali ABC...
Usah serik melayan keletah kami
Usah tertekan cuitan ibu bapa kami
Keranamu guru.... cerdiknya kami
Luahan bicara Muhamad Azim Faris bin Roslee
Rabu, Mei 12, 2010
KIP Nitar 1 - Berat sama dipikul
Amalan bantu membantu merupakan satu perbuatan rutin kepada semua penghuni KIP Nitar 1. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dalam paparan ini, suasana damai di KIP Nitar 1 begitu memberikan kedamaian dan ketenangan kepada setiap penghuninya. Semua masalah yang perlu dikongsi dikemukakan dan diselesaikan bersama-sama. Dalam paparan ini, dua buah rumah KIP Nitar 1 mengalami masalah paip bocor. Semua penghuni KIP Nitar 1 terus bergotong-royong membaikinya bersama-sama penduduk setempat yang mempunyai kemudahan jentera berat. Inilah eratnya silaturrahim antara penghuni KIP Nitar 1 dan masyarakat setempat. Inilah amalan yang baik yang telah ditunjukkan masyarakat pendidik di KIP Nitar 1 dengan masyarakat setempat.
Jumaat, Mei 07, 2010
AKTIVITI KUARTERS GURU KIP NITAR 1
Pelbagai program kemasyarakatan telah dianjurkan oleh Kuarters Guru KIP Nitar 1. Antaranya majlis Yassin dan Tahlil, gotong-royong dan Program Bantu-Membantu. Program lain yang dalam peringkat perancangan ialah Rumah Ceria, Rumah Mesra Hijau dan Rumah Mesra Alam.
Khamis, Mei 06, 2010
H1N1 - CEGAH SEBELUM BAWA PADAH
Mencegah lebih baik daripada mengubati. Ibu bapa diingatkan agar menggalakkan anak-anak ke sekolah dengan memakai penutup mulut dan hidung terutamanya bagi murid-murid yang batuk dan selesema. Antara gejala H1N1 ialah demam dan mengalami salah satu gejala berikut; batuk, sakit tekak, sukar bernafas, sakit badan dan sakit kepala. Elakkan pergi ke tempat-tempat awam atau ke majlis keramaian jika anda mengalami simptom selesema. Jika terpaksa pergi juga, pakai penutup mulut dan hidung. SK Nitar 1 sentiasa mengingatkan semua murid, guru dan kakitangan sekolah agar sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan H1N1.
Isnin, Mei 03, 2010
Pelajar Merokok- Semakin Serius- Di mana ibu bapa?
Jumlah pelajar sekolah merokok semakin meningkat. Gejala yang tidak sihat ini mesti dipandang serius oleh semua pihak. Setiap masa guru-guru di sekolah mengingatkan pelajar tentang bahaya merokok. Ramai pelajar yang merokok mengakui tabiat merokok mereka bermula di luar rumah. Mereka memberikan sebab mengapa mereka merokok? Ya, sebabnya ialah mereka meniru gaya 'macho' bapa , abang dan masyarakat sekitar yang begitu bergaya ketika merokok. Mereka cuba meniru gaya 'macho' tersebut dan akhirnya mereka terjebak dan ketagih rokok. Tidak dinafikan juga ada pelajar merokok kerana meniru guru yang merokok tetapi bilangannya tidaklah ramai.
Apa guna kita menuding jari menyalahkan orang itu orang ini yang menjadi penyebab ramai pelajar merokok. Bersama-samalah kita cari formula terbaik untuk menyelamatkan generasi masa depan daripada terjerumus ke lembah kehancuran kerana dari rokoklah bermulanya 'cinta' kepada ganja dan najis dadah. Slaid yang dilampirkan di bawah hendaklah kita jadikan iktibar. Relakah anak atau anak didik kita sedemikian?
Jumaat, April 30, 2010
Sudut Kesihatan SK Nitar 1- Bahaya Rokok
Semua telah maklum bahawa rokok AMAT BERBAHAYA kepada penghisap atau penghidu asap rokok. Melalui sudut kesihatan SK Nitar 1 ini, kita berkongsi pengetahuan tentang bahaya rokok dan berharap pelajar-pelajar akan terus menjauhi Najis Rokok ini.
Rabu, April 28, 2010
Kempen Sekolah Selamat
Minggu ini SK Nitar 1 menjalankan kempen Minggu Sekolah Selamat. Pada 28 April 2010, Pertandingan Tulisan Cantik yang berkaitan dengan kempen ini diadakan untuk murid-murid Tahap 1. Kempen Sekolah Selamat ini mendedahkan murid-murid sekolah ini tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa berada di sekolah dan pelbagai kemahiran berkaitan keselamatan, kesan-kesan tidak akur kepada peraturan keselamatan dan sebagainya. Mereka perlu dididik dari awal bagi menjana minda ke arah kesedaran pentingnya menjaga keselamatan pada setiap masa tidak kira di mana sahaja mereka berada.
Isnin, April 26, 2010
PING PONG MSSM NEGERI JOHOR - TAHNIAH KEPADA MUHAIMIN
Kecil-kecil cili padi. Itulah yang dapat ditakrifkan kepada Muhamad Muhaimin Haikal bin Md. Fadil, murid Tahun 5 dari SK Nitar 1 yang merupakan wakil tunggal MSSM Daerah Mersing yang berada dalam kelompok 'top 3' pada Pertandingan Ping Pong MSSM Negeri Johor yang telah diadakan pada 23-25 April 2010 di Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak.
Menduduki tempat ketiga kategori Kaum Bukan Cina peringkat negeri Johor Bawah 12 Tahun merupakan satu kedudukan yang terbaik buat seorang murid yang pada awalnya diasuh oleh jurulatihnya sebagai pelapis untuk Projek Gemilang Ping Pong 2011. Tahniah kepada adik Muhaimin. Kejayaan ini pastinya menyuntik semangat untuk menjuarai kejohanan yang sama tahun hadapan. InsyaAllah.
Sabtu, April 24, 2010
Sekolah Ganti - Kehadiran Murid Mengecewakan
Pihak sekolah berharap semua ibu bapa dapat membaca mesej ini. Kehadiran murid pada hari ini (Sabtu, 24 April 2010) amat mengecewakan. Perlu diingat, sekolah ganti sama dengan hari persekolahan biasa. Lebih mengecewakan, murid yang menaiki bas dari Felda Nitar Timur tidak dapat hadir ke sekolah kerana perkhidmatan bas tidak disediakan hari ini. Alasannya ialah pemandu balik kampung. Pihak sekolah berharap ibu bapa memandang serius perkara ini kerana sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa dan guru tetap mengajar di kelas seperti biasa. Harapan pihak sekolah, hari Sabtu persekolahan ganti pada masa akan datang akan lebih baik kehadiran muridnya.
Jumaat, April 23, 2010
24 April 2010 - Sekolah Ganti
Pada hari Sabtu, 24 April 2010 merupakan hari persekolahan ganti. Jadual yang digunakan ialah jadual hari Isnin. Surat makluman mengenai hari persekolahan berganti ini telah dikeluarkan oleh pihak sekolah. Di harap ibu bapa memberikan kerjasama memastikan anak-anak hadir ke sekolah.
Rabu, April 21, 2010
PING PONG MSSM MERSING - Bonus...JUARA BERGU TERBUKA pula.
MENAKJUBKAN !!!!!! Selepas menjuarai kategori perseorangan (Melayu) dan perseorangan terbuka, tanpa diduga dan dijangka, SK Nitar 1 muncul juara kategori bergu terbuka L12 tahun. Pasangan Muhamad Muhaimin dan Muhamad Yusof telah memeranjatkan semua penonton Felda Tenggaroh 3 dengan skil permainan yang menakjubkan. Satu lagi pasangan, Muhamad Azim Faris dan Muhamad Rafiq Faiz berjaya mara setakat suku akhir. Tahniah kepada pasukan pelapis ping pong SK Nitar 1. Tahun depan akan lebih gemilang dan ...AWAS!!!!! Tahun hadapan pasukan ini menjadi pasukan utama, bukan lagi pelapis. Program jangka panjang yang dilaksanakan oleh tenaga guru yang melatih murid-murid ini membuktikan 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'.Setiap kejayaan yang dikecapi pastinya bermula dengan kesukaran dan cabaran. Renung-renungkan.
Selasa, April 20, 2010
MUHAIMIN JOHAN PING PONG TERBUKA MSSM DAERAH MERSING
Sekali lagi gemilang dicipta oleh Muhamad Muhaimin Haikal bin M. Fadil pada hari ini. Kejayaan dan kejutan yang dicipta semalam belum mencukupi. Hari ini dalam kategori Terbuka, Muhaimin menampilkan kejutan lagi. Gelaran JOHAN berjaya dicapainya. Tahniah kepada beliau. SK Nitar 1 berbangga dengan kejayaan yang tidak diduga ini. Sekalung tahniah juga buat bapanya yang juga jurulatih peribadinya, Cikgu M. Fadil bin Othman, Ustaz Ruzlan bin Sulong dan Ustaz Aziz bin Kasim. NITAR 1 BOLEH JUARA !!!!
Langgan:
Catatan (Atom)