Ada yang panggil montel, comel dan bulat. Malah ada juga panggilan 'boroi', 'gedempol' atau 'gendut'. Ini semua daripada bentuk fizikal gemuk. Perkataan obesiti adalah lebih tepat daripada istilah sains. Masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia memang semakin bertambah. Ini semua terjadi berdasarkan amalan pemakanan seharian atau amalan kehidupan seharian.
Hari ini jika kita melihat atau menjengah ke sekolah, kita dapati bilangan pelajar sekolah yang berada dalam kategori obesiti semakin bertambah. Malah boleh dikatakan setiap kelas akan ada antara 1-3 orang pelajar yang berada dalam kategori obesiti.
Mungkin ianya belum ketara tapi kita mesti memandang secara serius perkara ini daripada sudut kesihatan. Mungkin di sekolah guru-guru mata pelajaran pendidikan kesihatan atau sains boleh menyentuh permasalahan ini secara lebih ilmiah dan membantu pelajar-pelajar ini bagi mengelak obesiti.
Kita lihat pula di rumah, apa yang dimakan dan dihidangkan oleh ibu bapa? Pernahkah ibu bapa diberikan pendedahan tentang pemakanan yang seimbang? Adakah ibu bapa tahu apa itu obesiti dan impaknya pada masa akan datang jika tidak dikawal?
Kementerian Kesihatan melalui media cetak dan elektronik setiap masa menjelaskan tentang obesiti, kesan dan akibat serta memberikan cara untuk mengatasi masalah ini. Sepatutnya ibu bapa telah pun memiliki pengetahuan ini. Mungkin melihat 'kecomelan' dan 'kemontelan' anak menjadikan mereka lupa bahawa sekiranya ianya 'berkekalan' sehingga dewasa, ianya pasti menjadi satu masalah.
Ingatan kepada semua, cuba elakkan obesiti kerana masalah ini boleh dielak daripada diri kita sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan