Jumaat, Januari 28, 2011

CUTI PERAYAAN TAHUN BARU CINA - PERANAN IBU BAPA

Cuti dikaitkan dengan rehat dan santai. Dalam kehidupan pelajar sekolah, cuti sebenarnya masa yang akan digunakan sepenuhnya untuk berada di rumah bersama-sama ahli keluarga. Malah mereka dapat mengelak daripada merasai suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Bagi guru pula, cuti akan digunakan untuk bersama kaum keluarga namun dalam fikiran dan rutinnya, mereka akan tetap menggunakan otak mereka untuk mencari seberapa banyak maklumat dan sumber rujukan sebagai tambahan kepada pengetahuan mereka untuk dilimpahkan kepada anak didik kelak.
Ibu bapa? Cuti sekolah dihadapi dengan pelbagai reaksi. Ada yang gembira dapat bersama anak-anak dan dapat mengikuti perkembangan pelajaran mereka secara dekat, ada yang kurang gembira kerana risau anak-anak mereka menyalahgunakan masa cuti dengan perkara yang tidak berfaedah ketika ibu bapa bekerja. Ada juga yang langsung tidak gembira kerana apabila anak-anak mereka cuti maka bertambahlah tugas mereka mengawasi anak-anak sepanjang hari.
Cuti sekolah sekiranya digunakan secara bijak oleh ibu bapa pastinya akan memberikan banyak faedah kepada semua. Masa inilah paling sesuai untuk ibu bapa memperuntukkan sedikit masa menyelami dan mendekati hati dan perasaan anak-anak. Berikan perhatian mengenai prestasi pelajaran mereka. Semak buku kerja atau buku latihan dan pastinya guru-guru akan membekalkan kerja rumah semasa cuti sekolah.
Inilah masa yang sesuai untuk ibu bapa mengenali anak-anak mereka dari perspektif pendidikan ilmiah.
Sesungguhnya gunakanlah cuti perayaan Tahun Baru Cina ini sebaik mungkin. Sebagai ibu bapa, sudah pastinya mereka tahu peranan dan tanggungjawab mereka. Selalulah mengawasi gerak-geri mereka semasa di luar rumah. Sekali-sekala bawalah anak-anak berehat dan santai. Tidak perlu jauh atau membazirkan kewangan. Bersantailah di tempat menarik yang berhampiran rumah. Sekiranya persekitaran luar rumah bersih dan menarik, bersantailah dengan keluarga sambil minum petang dan jadikanlah ianya satu sesi yang indah. Selamat bercuti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan