Ahad, Ogos 10, 2014

PENGEDARAN BUKU SARANA

Mulai 7 Ogos 2014, ibu bapa telah dibekalkan buku sarana ibu bapa melalui anak/jagaan masing-masing. Bersama-sama buku tersebut disertakan borang pengesahan penerimaan buku tersebut. Borang pengesahan tersebut mestilah diserahkan semula kepada Setiausaha PIBG SK Nitar 1 sebelum atau pada 20 Ogos 2014. Kandungan Buku Sarana Ibu Bapa tersebut sama dengan buku sarana ibu bapa yang telah diphotostat dan diedarkan kepada ibu bapa/ penjaga pada tahun lepas. Bersama-samalah kita jadikan PIBG sekolah melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) sebagai wadah menghulur khidmat secara langsung kepada pihak sekolah.

Selasa, Februari 18, 2014

SK NITAR 1 JUARA PERTANDINGAN PING PONG DAERAH MERSING

TAHNIAH!!!! Masih kekal JUARA. Pada 17 Februari 214, Pertandingan Ping Pong Sekolah-Sekolah Daerah Mersing Lelaki dan Perempuan 12 Tahun telah diadakan di SJKC Pai Chee. Memang Cemerlang. Adik Mawar Dalila bt Zaidi telah menjuarai kategori perseorangan  Perempuan 12 Tahun. Kemudian berpasangan dengan adik Ellyna Harnani Mohd Tahir, pasangan ini telah meraih gelaran JUARA bergu. Pasangan bergu lelaki 12 Tahun sekadar meraih tempat ketiga. Tahniah kepada semua peserta SK Nitar 1 dan juga kepada semua guru yang bertanggungjawab.

CATUR DAERAH MERSING: SKN 1 NAIB JOHAN INDIVIDU

Pertandingan catur Sekolah-Sekolah Daerah Mersing telah diadakan pada 16 Februari 2014 di SMK Mersing. SK Nitar 1 telah menghantar seramai 12 murid iaitu 6 lelaki dan 6 perempuan. Tahniah kepada adik Iztaqif Mustafa Kamal kerana telah menjadi Naib Johan Individu Lelaki 12 Tahun. Penyertaan peserta tahun ini telah memecahkan rekod penyertaan terbanyak. Bagi kategori lelaki 12 tahun seramai 94 murid mengambil bahagia.


SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SK NITAR 1

Telah diadakan pada 15 Februari 2014, bermula jam 10.00 pagi. Pada majlis ini budaya gotong royong atau rewang memasak juga dikekalkan sebagai satu wadah merapatkan silaturrahim guru-guru SK Nitar 1. Majlis dimulai dengan bacaan doa dan bacaan ayat suci Al-Quran oleh murid sekolah ini. Hampir 95% murid terlibat dalam persembahan Nasyid. Selepas itu pada jam 12.00 tengahari murid dan guru menjamu selera dengan hidangan nasi jagung. Terima kasih kepada semua.


BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN (RM100)

Telah diadakan pada 11 Februari 2014, jam 11.00 pagi di Dewan SK Nitar 1. Majlis penyampaian bantuan ini telah dirasmikan serta disampaikan oleh YB Raven Kumar a/l Krishnasamy, ADUN Tenggaroh. Dalam ucapannya YB juga telah meluluskan peruntukan bantuan kepada sekolah sebanyak RM5,000.00.

MESYUARAT AGUNG PIBG SK NITAR 1 KALI KE 25

Telah diadakan pada 11 Februari 2014 jam 8.00 pagi. 90% ibu bapa hadir.




MESYUARAT AJK PIBG 1/2014

Mesyuarat AJK PIBG SK Nitar 1 telah diadakan pada 9 Februari 2014 jam 8.00 malam, bertempat di Bilik Mesyuarat SK Nitar 1. Seramai 11 orang AJK hadir. Antara agenda yang dibincangkan ialah Program Kecemerlangan UPSR, Kecemerlangan Sekolah, Sarana Ibu Bapa, Sarana Sekolah, Aktiviti PIBG 2014, Mesyuarat Agung PIBG kali ke 25 dan lain-lain lagi.

Isnin, Januari 13, 2014

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL

Warga SK Nitar 1 mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL kepada semua umat Islam seluruh dunia. Jadikan Rasulullah S.A.W. sebagai contoh terbaik dalam kehidupan kita.

FELDA MENERUSKAN BANTUAN

Sebelum ini pihak FELDA telah mengagihkan pakaian dan keperluan sekolah kepada murid Tahun 1 di sekolah ini. Pada hari ini 12 Januari 2014, sekali lagi FELDA tampil membantu. Kali ini murid Tahun 6 yang akan menghadapi UPSR dibekalkan buku kerja sebagai persiapan menghadapi UPSR 2014.
Majlis penyampaian bantuan ini telah disampaikan oleh Hajah Nane, SDA Felda Nitar 1. Hajah Nane yang mewakili Tuan Pengurus Felda Nitar 1 berharap murid-murid Tahun 6 dapat menggunakan buku tersebut sebagai salah satu bahan tambahan untuk menghadapi UPSR 2014. Pihak sekolah merakamkan jutaan terima kasih dan berharap FELDA akan meneruskan bantuan lain yang mungkin boleh membantu semua murid di sekolah ini.

MAJLIS PERPISAHAN EN. ZULKIFLI



Sejak berkhidmat di SK Nitar 1 sebagai Pembantu Tadbir mulai 1990 hingga 2013, Encik Zulkifli bin Yaakob merupakan seorang yang kuat bekerja dan memberikan komitmen yang tinggi dalam perkhidmatannya. Semua guru merujuk kepada beliau dalam apa sahaja urusan pejabat hingga sistem fail peribadi pun beliau sentiasa kemaskini untuk guru-guru. Walaupun memiliki status Orang Kelainan Upaya, beliau tetap bekerja dengan sempurna, malah lebih baik daripada orang lain yang normal. Kini tanpa disangka-sangka, beliau diarahkan berpindah ke SK Tanah Abang bermula 16 Disember 2013. Bagi guru-guru yang telah lama berkhidmat di sekolah ini, satu kehilangan yang amat dirasai. Terima kasih kepada beliau dan jasanya tetap akan dikenang hingga akhir hayat. Selamat berkhidmat di tempat baru dengan keazaman yang lebih tinggi. Tabahkan diri kerana beliau akan melalui perjalanan yang jauh untuk ke SK Tanah Abang dalam keadaan diri beliau yang mengalami masalah kesihatan dan pastinya pengorbanan ini akan diRahmati Allah.

Selasa, Januari 07, 2014

Allahyarham Zulkiflee bin Jainal Kembali ke Rahmatullah

Al-Fatihah buat Allahyarham Zulkiflee bin Jainal, guru di SMK Nitar yang telah kembali ke Rahmatullah pada petang semalam 6 Januari 2014. Allahyarham telah berkhidmat di SMK Nitar selama 23 tahun. Semoga roh Allahyarham di tempatkan di kalangan orang-orang beriman.

Ahad, Januari 05, 2014

KELENGKAPAN SEKOLAH SUMBANGAN YAYASAN FELDA

5/01/2014 -  Yayasan Felda telah menyumbangkan kelengkapan sekolah yang terdiri daripada uniform sekolah, sepasang pakaian sukan, stoking, kasut, bekas alat tulis dan beg kepada 36 orang murid Tahun 1, SK Nitar 1. Sumbangan ini telah disampaikan oleh Encik Harun Al-Rashid bin Marzuki, Pengurus Felda Nitar 1. Pihak sekolah merakamkan terima kasih kepada Yayasan Felda dan pengurusan Felda Nitar 1.


Rabu, Januari 01, 2014

TERIMA KASIH. JASAMU DIKENANG


Encik Zulkifli bin Yaakob, Pembantu Tadbir SK Nitar 1 yang telah berkhidmat di sekolah ini lebih daripada 20 tahun kini telah berpindah ke SK Tanah Abang. Warga SK Nitar 1 mengucapkan selamat bertugas dan maju jaya di tempat baru dengan meneruskan kecemerlangan seperti mana yang telah diberikan di SK Nitar 1. Jasa dan perkhidmatan beliau begitu disanjungi. Terima kasih kerana perkhidmatan cemerlang saudara. Satu kehilangan yang mesti diterima dengan rela. Jasamu Dikenang.

PEMANTAUAN AWAL TAHUN

Pemantauan awal tahun 2014 di SK Nitar 1 telah dilaksanakan oleh Encik Azizan bin Jantan, Penyelia Kanan Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Johor. 

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH 2014

Warga SK Nitar 1 mengalu-alukan semula kehadiran semua murid ke sekolah pada tahun 2014 ini. Tahniah kepada ibu bapa yang telah menyediakan segala kemudahan dan kelengkapan untuk anak-anak hadir ke sekolah. Azamkan dalam diri untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan akan terus memberikan yang terbaik kepada ibu bapa dan sekolah.