SEJARAH

Di atas desakan dan kesedaran para peneroka serta pegawai FELDA Nitar 1, SK LKTP Nitar 1 akhirnya terbina. Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke 4 (1981-1985) telah membina sebuah bangunan setingkat sekolah ini pada tahun 1984. Bangunan ini telah dibina di kawasan seluas kira-kira 7 ekar tanah yang direzabkan oleh LKTP Nitar 1, Mersing. Sekolah terpencil ini tersergam indah jauh di pedalaman kira-kira 60 kilometer dari bandar Mersing melalui jalan Jemaluang menuju ke arah Kluang. Kini setelah terbinanya jalanraya baru yang menghubungkan terus bandar Mersing dengan Felda Nitar, jaraknya hanya tinggal 25 kilometer sahaja.

Bangunan sekolah baru ini mengandungi sebuah pejabat, sebuah bilik guru, enam bilik darjah serta dua buah setor.  Kemudahan-kemudahan lain seperti padang permainan, tapak perhimpunan, tandas dan kantin disedia dan dibina bersebelahan bangunan ini. Bangunan baru ini kemudiannya dikenali sebagai bangunan Blok A. Walaupun tanpa kemudahan infrastruktur yang sempurna pada ketika itu seperti bekalan air bersih, elektrik 24 jam, talian telefon dan jalan tanah merah namun sekolah ini mampu beroperasi dengan jayanya.

Sekolah ini dinamakan SK LKTP Nitar 1, Mersing. Perkataan Nitar yang digunakan adalah sempena nama anak Tok Batin orang asli yang bernama Nitar. Nitar khabarnya merupakan anak gadis tercantik yang hilang di kawasan berbukit di sekitar tanah rancangan ini pada ketika itu. Sejak kehilangannya itulah kawasan ini dinamakan Nitar dan kawasan yang dimaksudkan meliputi Felda Nitar 1, Nitar 2 dan Ladang Nitar Timur yang ada sekarang.

Tanggal 7 Januari 1985, sekolah ini mula beroperasi. 4 orang guru lepasan maktab perguruan telah ditempatkan untuk mengharungi cabaran bertugas mengajar 151 orang pelajar bersama-sama Tn, Hj. Nordin bin Hj. Rashidi yang bertanggungjawab sebagai Penyelia Sekolah pada waktu itu. Sekolah ini pada awalnya adalah di bawah pengurusan dan pentadbiran SK Bandar Mersing, di mana Guru Besarnya pada ketika itu ialah Encik Abd. Razak bin Hussien.

Tanggal 18 Mei 1986, sekolah ini beroperasi dalam dua sesi pagi dan petang bagi menampung pertambahan pelajar dan kekurangan bangunan. Di atas kesedaran dan inisiatif pihak pengurusan dan peneroka FELDA Nitar 1, dalam melaksanakan peranan dan fungsinya, telah bermurah hati menyumbang sebuah bangunan tambahan. Pada tahun 1987 bangunan tambahan ini dibina secara gotong-royong dan dinamakan bangunan Blok B. Bangunan ini kemudiannya telah dijumudkan kerana teruk diserang anai-anai pada tahun 2007.

         Pada tahun 1988, sebuah lagi bangunan dibina bagi menampung pertambahan pelajar     yang semakin meningkat. Bangunan ini telah dibina di bawah projek kerajaan iaitu dibawah Rancangan Malaysia ke 5, mengandungi 2 buah bilik darjah, setor, pejabat, bilik guru, pusat sumber, bilik solat, kantin dan tandas. Pejabat dan Bilik Guru Besar di bangunan Blok A diubahsuai untuk dijadikan lorong laluan ke bangunan baru ini yang kemudiannya dikenali sebagai bangunan Blok C. Sementara bilik guru sedia ada dijadikan bilik utiliti tanpa kerja-kerja ubahsuai.

Tanggal September 1997, bangunan baru Blok D telah dibina di sebelah selatan bangunan lama. Bangunan baru setinggi tiga tingkat ini mengandungi sebuah bilik muzik, sebuah perpustakaan, sebuah pusat sumber, sebuah bilik tayangan, sebuah bilik guru, sebuah bilik mesyuarat, sebuah bilik sains, sebuah bilik kemahiran hidup, enam buah bilik darjah, dua buah tandas guru, dua buah tandas murid dan sebuah setor. Bangunan rumah pam air mekanikal juga dibina bersebelahan bangunan baru ini.

Pada tahun 2009, sebuah lagi bangunan setinggi tiga tingkat telah dibina berhampiran tapak bangunan Blok B yang telah dirobohkan pada tahun 2007. Bangunan ini yang dinamakan sebagai  Blok C menempatkan kelas Tahun 1 hingga Tahun 5, Bilik Guru, Bilik Muzik, Bilik SAL, Bilik Buku Teks, Kantin, Surau, Bilik Wuduk, Pusat Akses, Bilik J-Qaf, Bilik Mesyuarat, Kedai Buku, Bilik Kesihatan dan Bilik Pengawas. Bangunan ini siap sepenuhnya pada akhir tahun 2011.

Kini setelah hampir 27 tahun berlalu, sekolah ini telah diterajui oleh tujuh orang Guru Besar yang sanggup menabur budi di sekolah ini. Bermula dengan Encik Abd. Razak bin Hussein (01/01/1985-12/01/1985), diikuti dengan Allahyarham Tn. Hj. Nordin bin Hj. Rashidi (13/01/1985 – 30/06/1994).

Guru Besar berikutnya ialah Encik Md. Yusof bin Sulong (01/07/1994 – 24/07/1999). Beliau telah dipindahkan ke SK Bandar Endau dan digantikan dengan Allahyarham Encik A. Rahman bin Talib (25/07/1999 – 20/05/2005). Tempat Allahyarham Encik A.Rahman bin Talib digantikan oleh Encik Zulkefli bin Mohd Amin yang mula bertugas pada 16/06/2005 hingga 16/06/2010. Selepas itu sekolah ini telah ditadbir oleh Encik Rashidi bin Mat Jalil sehingga 16 Disember 2012. Kini dalam menuju era kegemilangan, SK LKTP Nitar 1 telah diterajui oleh Encik Shamsuddin bin Othman.







SENARAI GURU BESAR:
1.ALLAHYARHAM TN. HJ. NORDIN B. HJ RASHIDI (13.1.1985-30.6.1994)
2.EN. MD YUSOF B. SULONG (1.7.1994-24.7.1999)
3.ALLAHYARHAM A.RAHMAN B. TALIB (25.7.1999-20.5.2005)
4.EN. ZULKEFLI B. MOHD AMIN ( 16.6.2005-16.6.2010)
5.EN. RASHIDI B. MAT JALIL ( 17.6.2010-16.12.2012)
6.EN. SHAMSUDIN B. OTHMAN (16.12.2012- KINI)

3 ulasan:

  1. SAYA ANTARA PELAJAR TERAWAL SEK.KEB.NITAR 1 -
    CIKGU TERAWAL LEPASAN MAKTAB YG ARTIKEL INI MAKSUDKAN IALAH CIKGU ROHAYA HJ OMAR , CIKGU RAFIZAH MOHAMAD DAN CIKGU FAIZAH ABU BAKAR

    BEKAS PELAJAR SK NITAR 1 - NORHANA MOHAMED YUSOP

    BalasPadam
  2. Assalammualaikum..zaman saya tahun 2000 ada seorang guru lelaki..iaitu cikgu razif kalau tak silap..ada sesiapa tahu dia mengajar di mana sekarang..atau pun ada cara untuk saya hubungi beliau?

    BalasPadam
  3. Saya mencari tok batin ati

    BalasPadam