Rabu, Januari 26, 2011

SELAMAT BERJUANG WIRA PING PONG SK NITAR 1


Semangat membara untuk mempertahankan kejuaraan ping pong MSSD Mersing begitu menggelegak  dalam diri empat wira dan dua wirawati SK Nitar 1. Tahun lalu sekolah ini hanya menghantar peserta lelaki dan menjuarainya. Pada tahun ini perkembangan lebih menarik apabila SK Nitar 1 telah melahirkan dua 'bakal juara' kategori perempuan. Masih di Tahun 4, Nurul Irdina Aqilah bt Mohd Fadil dan Anis Hanim bt Ruzlan telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa. Latihan sejak akhir tahun 2010 hungga kini telah mematangkan teknik permainan mereka.
Kategori lelaki pula di ketuai oleh juara bertahan, Muhamad Muhaimin Haikal bin Mohd Fadil, Muhamad Yusof bin Omar, Mohammad Azim Faris bin Roslee dan Muhamad Faiz bin Abd. Rahman. Memiliki permainan yang seimbang antara mereka, dijangkakan mereka mampu melonjakkan corak permainan yang pastinya akan mengejutkan pasukan lain terutamanya peserta sekolah projek ping pong MSSD Mersing, SK Tenggaroh 3 yang juga bertindak selaku tuan rumah.
Hari ini segala penat lelah mereka berlatih sejak tahun lalu lagi akan terjawab.Warga SK NItar 1 mendoakan kejayaan gemilang buat wira dan wirawati sekolah.

Isnin, Januari 17, 2011

SELAMAT BERPINDAH

SK Nitar 1 kehilangan seorang lagi guru. Kali ini tiba giliran Hajjah Azayiah bt Md. Tahir, Guru Penolong Kanan Kurikulum. Hampir tiga tahun menabur khidmat bakti di sekolah ini, akhirnya Hajjah Azayiah berpindah ke SK Taman Kota, Yong Peng sebagai GPK Kokurikulum.
Sesungguhnya ianya merupakan satu kehilangan yang amat besar. Beliau merupakan ketua penanda BM UPSR. Ilmu yang ada pada beliau sebenarnya masih ditagih.
Warga SK Nitar 1 mengucapkan selamat maju jaya kepada Hajjah Azayiah dan seterusnya berjaya dalam kerjaya ini di sekolah baru. Kami akan merindui budi dan jasa Hajjah.

Selasa, Januari 04, 2011

Hari Pertama Persekolahan



Selamat tinggal 2010 dan kedatangan 2011 pastinya diiringi azam baru yang lebih mantap. Hari pertama persekolahan diwarnai dengan pelbagai gelagat pelajar, guru dan ibu bapa. Bagi pelajar Tahun 1 yang baru menjejakkan kaki di sekolah secara rasmi menjadi generasi pertama KSSR.
Warga SK Nitar 1 amat ceria pada hari pertama persekolahan. Para guru dan pekerja datang seawal 6.45 pagi. Ini isyarat awal bahawa akan muncul satu sinar kegemilangan pada tahun 2011 ini. InsyaAllah. Malah pengajaran dan pembelajaran di kelas terus dilaksanakan serta berjalan lancar. Taklimat kepada ibu bapa Tahun 1 juga mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran ibu bapa yang ramai.
Teruskan hari gemilang ini ke arah kegemilangan sekolah ini. Sesungguhnya hari pertama ini merupakan tanda awal bahawa SK Nitar 1 akan bangkit melahirkan generasi celik ilmu dunia dan akhirat, celik akal, celik huruf dan nombor. Pastinya 5A dalam UPSR akan GEMPAK!!!!!

Sabtu, Januari 01, 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2011 DAN KEMBALI KE SEKOLAH

Selamat Tahun Baru 2011 dan Selamat Kembali ke Sekolah. Pada 27-28 Disember 2010, guru-guru SK Nitar 1 telah bermesyuarat. Hala tuju kecemerlangan 2011 dirancang dengan teliti dan sistematik.
Untuk makluman ibu bapa, pada 1 Januari 2011, pendaftaran pelajar Tahun 1 hingga 6 serta pembayaran yuran dan pembelian buku tulis akan dilaksanakan.

Khamis, November 18, 2010

SAMBUTAN HARI RAYA KORBAN DI KUARTERS GURU KIP NITAR 1

Ramai warga guru Felda Nitar 1 yang menghuni Kuarters Guru KIP Nitar 1 yang menyambut Aidil Adha di sini. Kemeriahan tetap dirasakan walaupun jauh daripada keluarga. 2 ekor lembu telah dikorbankan dan jamuan Aidil Adha telah diadakan. Amat meriah dan hilang seketika kerinduan kampung halaman.

Khamis, November 11, 2010

NOR AMELIA BINTI SUHAIMI - 5A UPSR 2010

TAHNIAH kepada Nor Amelia binti Suhaimi kerana pelajar tunggal mendapat 5A dalam UPSR 2010. Banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh adik Amelia sebelum menncapai 5A. Dalam tahun yang sama (2010), ketika bersiap sedia untuk UPSR, adik Amelia telah kehilangan bapa tersayang buat selama-lamanya. Berita bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya amat menyentap hati dan perasaannya.
Namun ketabahan, kecekalan dan kekuatan mental adik Amelia, semua itu diketepikan buat seketika dan persiapan menghadapi UPSR diteruskan. Dalam kesedihan dan kepiluan, akhirnya adik Amelia berjaya mencapai keputusan 5A dalam UPSR 2010. Berat mata memandang, berat lagi bahu adik Amelia yang memikul. Tahniah buat adik Amelia. Warga SK Nitar 1 bangga dengan anda yang juga cemerlang dalam aktiviti kokurikulum peringkat daerah dan negeri.

Selasa, November 09, 2010

KEPUTUSAN UPSR PADA HARI KHAMIS


Tanggal 11 November 2010 menjadi satu tarikh yang amat dinantikan oleh semua warga sekolah rendah seluruh negara. Keputusan UPSR  akan diumumkan pada hari Khamis ini. Debaran pastinya amat dirasai oleh semua yang terlibat, pelajar, guru, ibu bapa dan sanak saudara. Warga SK Nitar 1 sentiasa mendoakan agar sekolah ini akan mencapai tahap kecemerlangan bermula dengan keputusan UPSR 2010.