Jumaat, Mac 04, 2011

1 MALAYSIA MEMBANTERAS DADAH



Bermula 28 Februari 2011, Majlis Pelancaran Kempen Minggu Pencegahan Dadah telah dirasmikan oleh En.  Rashidi bin Mat Jalil, Guru Besar SK Nitar 1. Temanya ialah '1 Malaysia Membanteras Dadah'. Dalam ucapan pelancaran, Tuan Guru Besar menegah sama sekali pelajar daripada mendekati rokok kerana rokoklah punca atau kunci kepada penagihan najis dadah. Pelajar diingatkan agar menjadi pewaris negara yang sihat dan bersih daripada najis dadah.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang minggu. Antaranya pertandingan melukis poster, pertandingan mewarna, pertandingan menulis esei, mendeklamasi sajak dan sketsa 'Bicara Rokok Dan Dadah'. Setiap hari pelajar diingatkan mengenai kesan rokok dan penagihan dadah kepada negara. Pelbagai poster telah ditampal bagi mengingatkan pelajar mengenai bahaya dadah.
Kempen ini akan diteruskan sepanjang tahun bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pelajar mengenai bahaya dan bahana najis dadah. Ibu bapa juga digalakkan agar sentiasa menekankan kepada anak-anak tentang bahaya dadah.
Apabila menyebut tentang najis dadah, sudah pasti ianya berpunca daripada tabiat berjinak dengan rokok. Apabila ketagihan rokok telah meresap ke dalam diri, sesuatu yang lebih 'high' pasti akan ditagih. Maka bermulalah dadah menjadi cubaan pada peringkat awal. 'Terlajak perahu boleh diundur' tapi tetapi sekali mencuba najis dadah, bala yang dijemput. 
Sekadar mengingati diri sendiri dan rakan-rakan, bersama-samalah kita membanteras najis dadah. Dadah tidak mengenal usia atau bangsa. Relakah anak anda dikuasai najis dadah? Sanggupkah anda menjadi hamba dadah?  

Selasa, Mac 01, 2011

UPPM 1

Peringatan kepada ibu bapa/ penjaga pelajar SK NItar 1. Pada 8 hingga 10 Mac 2011, UPPM 1 akan diadakan kepada pelajar Tahun 2 hingga Tahun 6. Pastikan anak-anak mengulangkaji di rumah sebagai persiapan menghadapi UPPM 1 ini. Kerjasama daripada semua ibu bapa/ penjaga amatlah diharapkan agar kecemerlangan akan menjadi milik mereka.

Khamis, Februari 24, 2011

OBESITI SEMAKIN SERIUS DI KALANGAN KANAK-KANAK SEKOLAH








Ada yang panggil montel, comel dan bulat. Malah ada juga panggilan 'boroi', 'gedempol' atau 'gendut'. Ini semua daripada bentuk fizikal gemuk. Perkataan obesiti adalah lebih tepat daripada istilah sains. Masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia memang semakin bertambah. Ini semua terjadi berdasarkan amalan pemakanan seharian atau amalan kehidupan seharian.
Hari ini jika kita melihat atau menjengah ke sekolah, kita dapati bilangan pelajar sekolah yang berada dalam kategori obesiti semakin bertambah. Malah boleh dikatakan setiap kelas akan ada antara 1-3 orang pelajar yang berada dalam kategori obesiti.
Mungkin ianya belum ketara tapi kita mesti memandang secara serius perkara ini daripada sudut kesihatan. Mungkin di sekolah guru-guru mata pelajaran pendidikan kesihatan atau sains boleh menyentuh permasalahan ini secara lebih ilmiah dan membantu pelajar-pelajar ini bagi mengelak obesiti.
Kita lihat pula di rumah, apa yang dimakan dan dihidangkan oleh ibu bapa? Pernahkah ibu bapa diberikan pendedahan tentang pemakanan yang seimbang? Adakah ibu bapa tahu apa itu obesiti dan impaknya pada masa akan datang jika tidak dikawal?
Kementerian Kesihatan melalui media cetak dan elektronik setiap masa menjelaskan tentang obesiti, kesan dan akibat serta memberikan cara untuk mengatasi masalah ini. Sepatutnya ibu bapa telah pun memiliki pengetahuan ini. Mungkin melihat 'kecomelan' dan 'kemontelan' anak menjadikan mereka lupa bahawa sekiranya ianya 'berkekalan' sehingga dewasa, ianya pasti menjadi satu masalah.
Ingatan kepada semua, cuba elakkan obesiti kerana masalah ini boleh dielak daripada diri kita sendiri.

Rabu, Februari 23, 2011

PEMANTAUAN JEMAAH NAZIR

Semua sekolah di daerah Mersing akan dilawati oleh Jemaah Nazir, JPN dan PPD pada 17-24 April 2011. Pemantauan pelaksanaan LINUS menjadi agenda utama pemantauan. Setiap sekolah mungkin akan menerima 4-6 orang pemantau. Mereka akan memantau semua aspek dari sistem fail hingga pengajaran dan pembelajaran guru.
Kehadiran mereka amat dialu-alukan bagi mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan pentadbiran.

Jumaat, Januari 28, 2011

CUTI PERAYAAN TAHUN BARU CINA - PERANAN IBU BAPA

Cuti dikaitkan dengan rehat dan santai. Dalam kehidupan pelajar sekolah, cuti sebenarnya masa yang akan digunakan sepenuhnya untuk berada di rumah bersama-sama ahli keluarga. Malah mereka dapat mengelak daripada merasai suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Bagi guru pula, cuti akan digunakan untuk bersama kaum keluarga namun dalam fikiran dan rutinnya, mereka akan tetap menggunakan otak mereka untuk mencari seberapa banyak maklumat dan sumber rujukan sebagai tambahan kepada pengetahuan mereka untuk dilimpahkan kepada anak didik kelak.
Ibu bapa? Cuti sekolah dihadapi dengan pelbagai reaksi. Ada yang gembira dapat bersama anak-anak dan dapat mengikuti perkembangan pelajaran mereka secara dekat, ada yang kurang gembira kerana risau anak-anak mereka menyalahgunakan masa cuti dengan perkara yang tidak berfaedah ketika ibu bapa bekerja. Ada juga yang langsung tidak gembira kerana apabila anak-anak mereka cuti maka bertambahlah tugas mereka mengawasi anak-anak sepanjang hari.
Cuti sekolah sekiranya digunakan secara bijak oleh ibu bapa pastinya akan memberikan banyak faedah kepada semua. Masa inilah paling sesuai untuk ibu bapa memperuntukkan sedikit masa menyelami dan mendekati hati dan perasaan anak-anak. Berikan perhatian mengenai prestasi pelajaran mereka. Semak buku kerja atau buku latihan dan pastinya guru-guru akan membekalkan kerja rumah semasa cuti sekolah.
Inilah masa yang sesuai untuk ibu bapa mengenali anak-anak mereka dari perspektif pendidikan ilmiah.
Sesungguhnya gunakanlah cuti perayaan Tahun Baru Cina ini sebaik mungkin. Sebagai ibu bapa, sudah pastinya mereka tahu peranan dan tanggungjawab mereka. Selalulah mengawasi gerak-geri mereka semasa di luar rumah. Sekali-sekala bawalah anak-anak berehat dan santai. Tidak perlu jauh atau membazirkan kewangan. Bersantailah di tempat menarik yang berhampiran rumah. Sekiranya persekitaran luar rumah bersih dan menarik, bersantailah dengan keluarga sambil minum petang dan jadikanlah ianya satu sesi yang indah. Selamat bercuti.

Khamis, Januari 27, 2011

SK Nitar 1 JOHAN PING PONG INDIVIDU

TAHNIAH! TAHNIAH! TAHNIAH!!! Warga SK Nitar 1 amat berbangga dan mengucapkan tahniah kepada pemain ping pong sekolah kerana berjaya membolot bersih kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan ping pong MSSD Mersing di SK Tenggaroh 3 semalam.
Juara kategori lelaki terbuka milik Muhamad Muhaimin Haikal bin Mohd Fadil dan juara kategori perempuan terbuka milik Nurul Irdina Aqilah binti Mohd Fadil. Pasangan adik beradik ini layak menjuarai pertandingan kali ini memandangkan 'projek' yang dilancarkan oleh bapa mereka amat besar nilainya. Bapa mereka, Mohd Fadil bin Othman merupakan guru di SK Nitar 1. Ibunya, Pn. Fauziah bt Omar,  juga guru di sekolah ini. Pada tahun lalu mereka membeli sendiri meja ping pong dan pasangan adik beradik ini berlatih sepanjang tahun di rumah dan di bawah kendalian bapa dan ibu mereka.
Hasilnya....... mereka memiliki anak yang menjuarai pertandingan ping pong peringkat daerah dan berazam membuat kejutan di MSSJ nanti. Tahniah juga buat wira dan wirawati sekolah yang lain. Mereka terkandas di peringkat suku akhir. Satu pencapaian yang membanggakan walaupun sekolah ini bukan sekolah projek gemilang ping pong daerah Mersing. Tahniah buaat Mohammad Azim Faris bin Roslee, Muhamad Yusof bin Omar, Muhamad Faiz bin A. Rahman dan Anis Hanim binti Ruzlan.
Adik Nurul baru berusia 10 tahun dan telah menjadi juara. Pastinya dalam masa 2 tahun lagi, mungkin Mersing akan melahirkan juara ping pong peringkat MSSJ dalam kategori perempuan. InsyaAllah. Begitu juga dengan adik Anis Hanim yang juga berusia 10 tahun.
Pastinya, SK Nitar 1 berbangga dengan wira dan wirawati ini. Teruskan rentak gemilang ini. Tahniah juga kepada teraju utama yang menjana gemilang ini iaitu Encik Mohd Fadil bin Othman, En. Aziz bin Kasim dan En. Ruzlan bin Sulong. Tanpa mereka pastinya SK Nitar 1 tidak berdiri megah sebegini dalam sukan ping pong. TAHNIAH!!!!!!!!!!!!

Rabu, Januari 26, 2011

SELAMAT BERJUANG WIRA PING PONG SK NITAR 1


Semangat membara untuk mempertahankan kejuaraan ping pong MSSD Mersing begitu menggelegak  dalam diri empat wira dan dua wirawati SK Nitar 1. Tahun lalu sekolah ini hanya menghantar peserta lelaki dan menjuarainya. Pada tahun ini perkembangan lebih menarik apabila SK Nitar 1 telah melahirkan dua 'bakal juara' kategori perempuan. Masih di Tahun 4, Nurul Irdina Aqilah bt Mohd Fadil dan Anis Hanim bt Ruzlan telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa. Latihan sejak akhir tahun 2010 hungga kini telah mematangkan teknik permainan mereka.
Kategori lelaki pula di ketuai oleh juara bertahan, Muhamad Muhaimin Haikal bin Mohd Fadil, Muhamad Yusof bin Omar, Mohammad Azim Faris bin Roslee dan Muhamad Faiz bin Abd. Rahman. Memiliki permainan yang seimbang antara mereka, dijangkakan mereka mampu melonjakkan corak permainan yang pastinya akan mengejutkan pasukan lain terutamanya peserta sekolah projek ping pong MSSD Mersing, SK Tenggaroh 3 yang juga bertindak selaku tuan rumah.
Hari ini segala penat lelah mereka berlatih sejak tahun lalu lagi akan terjawab.Warga SK NItar 1 mendoakan kejayaan gemilang buat wira dan wirawati sekolah.